rap

Sakit hilang lihat ramai peminat

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“SAYA makan banyak painkiller (ubat penahan sakit) sebelum persembahan dan bersyukur dapat menghabiskan konsert ini dengan sempurna,”.

Demikian kata penyanyi kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Joey mengenai kemampuannya beraksi dalam Konsert Minggu Ini anjuran RTM di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dalam persembahan yang berlangsung selama satu jam setengah itu, Joey bersama anggota asal BPR iaitu Awang (gitar), Yem Bai (bass), Enal (dram) serta dibantu dua pemuzik undangan, Rizal (gitar) dan Im (keyboard) mendendangkan rangkaian lagu popular mereka dan berjaya meletakkan program itu pada kedudukan pertama trending.

Terdahulu, Joey terbabit kemalangan motosikal di Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada Jun lalu sehingga mengakibatkan empat tulang rusuknya patah.

Joey atau nama sebenar Johari Mat Rozekhi, 54, berkata selepas persembahan tamat dan sampai di rumah, barulah dia kembali terasa sengal di seluruh badan.

“Sakit itu hilang seketika apabila melihat ramai peminat hadir. Seronok apabila ramai kawan datang.

“Kecederaan yang dialami memang agak mengambil masa untuk sembuh. Tapi saya tak boleh nak menjadikannya alasan untuk duduk berehat sahaja.

“Saya perlu aktif buat aktiviti supaya kecederaan ini cepat pulih. Apapun saya bersyukur kerana berjaya pikul tanggungjawab yang diberikan sebaiknya,” katanya.

Kejadian yang menimpa Joey berlaku kira-kira jam 6 petang sewaktu dia pulang daripada berjumpa Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi di Taman Melawati.

Joey kemudiannya menjalani pemeriksaan di Hospital Ampang dan doktor mengesahkan empat tulang rusuknya patah.

Dia menolak untuk dimasukkan ke wad dan mengambil keputusan merawat sendiri penyakitnya di rumah menerusi tunjuk ajar yang diberikan.

Pada Mac lalu, Joey dan anggota asal BPR mengadakan showcase pertama mereka di sebuah kelab di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur selepas beberapa tahun berehat.

Mereka juga bercadang untuk aktif mengadakan persembahan eksklusif bertemu peminat di beberapa lokasi yang sudah dirancang.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 7:12pm
d