rap

Rancang album solo baharu

Oleh Ramlah Zainal

KALI terakhir penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah muncul dengan album solo ialah menerusi Raja Pop 2 yang diterbitkan syarikatnya sendiri pada 2011.

Menurut Jamal, 60, ada perancangan untuk menghasilkan album solo selepas lapan tahun tiada buah tangan baru.

“Buat permulaan, saya merancang untuk memberi nafas baru rangkaian lagu lama yang pernah dihasilkan pada era 80-an dan 90-an.

“Malah, saya juga memiliki banyak rangkaian lagu lebih 50 hingga 60 lagu yang tidak dinyanyikan di pentas persembahan sebelum ini. Ia tidak termasuk lagu yang sudah popular seperti Kekasih Awal dan Akhir yang malar segar sampai sekarang,” katanya.

Jamal ditemui pada majlis pelancaran lagu duet Belenggu Rindu bersama penyanyi Wany Hasrita yang berlangsung di Suka Sucre Bistro di Cheras di sini, baru-baru ini.

Justeru itu, Jamal mengalu-alukan mana-mana penggubah lagu yang berminat untuk bekerjasama dengannya dan memberi sentuhan nafas baru terhadap lagu lama terbabit.

“Saya mahu lagu lama itu diubah menjadi kontemporari dan sesuai dengan trend muzik sekarang.

“Mana-mana komposer atau penggubah lagu yang berminat diminta menghubungi saya dengan segera,” katanya.

Duet dengan Wany Hasrita

Terbaru, Jamal mempertaruhkan lagu Belenggu Rindu bersama Wany Hasrita yang mendapat sentuhan penyanyi dan komposer terkenal Hael Husaini dan Ezra Kong.

Bagi Jamal, dia terima tawaran untuk berduet dengan Wany kerana yakin lagu itu akan mendapat sambutan daripada peminat.

Malah, lagu duet Belenggu Rindu juga sudah mendapat tontonan 1 juta di YouTube dalam tempoh lima hari.

“Banyak faktor yang saya fikirkan sebelum terima tawaran terbabit. Pada mulanya, saya akan menilai sama ada lagu itu boleh pergi jauh atau sebaliknya.

“Selain memilih pasangan duet artis muda yang popular dan lagu pula ciptaan komposer yang juga memang mendapat tempat dalam industri muzik tanah air ketika ini.

“Sebab itu saya tidak kisah jika ada pihak mendakwa saya mahu menumpang populariti mereka pula,” katanya.

Apapun, kata Jamal, dia sedikit pun tidak bimbang jika ada pihak tidak dapat menerima gandingannya dengan Wany.

“Saya memang dianugerahkan dengan kelebihan dari segi vokal dan penghayatan sejak berkecimpung dalam industri muzik.

“Manakala, lagu duet dengan artis muda pula adalah strategi untuk saya kekal relevan.

“Tiada salahnya saya berduet dengan artis baru kerana gabungan artis lama dan baru menerusi lagu duet juga sudah dimulakan di negara barat,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 5:00am
d