rap

Tash selesa kompromi dalam bekerja

Oleh Ardini Sophia Sina

MINAT mendalam terhadap dunia lakonan membuatkan pelakon Tash Yong, 29, enggan bersikap terlalu berkira untuk setiap komitmennya.

Tash atau nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli berkata, dia selesa bertolak-ansur dengan mereka yang bekerja bersamanya.

“Sebagai pelakon, saya sedaya upaya berusaha memberi kerjasama yang baik termasuk dalam soal publisiti untuk drama dan filem yang dibintangi.

“Umpamanya, untuk produk drama lakonan saya semestinya promosi dilakukan di platform media sosial seperti Instagram (IG).

“Meskipun IG saya hanya ada 129,000 pengikut, saya bersyukur dan gembira dapat berkongsi dengan mereka.

“Kebanyakan yang mengikuti saya di IG pun peminat Tash Yong Squad (TYS) yang tak jemu memberikan sokongan,” katanya.

Tash yang berhasrat untuk aktif dalam bidang nyanyian berkata, sokongan peminat menjadi pembakar semangatnya terus berusaha.

Sentiasa bersikap positif, Tash yakin kerjasama baik yang diberikannya akan dihargai pihak produksi.

“Lebih lima tahun aktif berlakon, saya tidak pernah berkira dengan produksi.

“Apa saja drama dan filem yang membabitkan saya pasti tidak terlepas pandang untuk diuar-uarkan kepada peminat,” katanya.

Menurut Tash lagi, dia juga percaya apabila tidak terlalu berkira maka rezeki akan semakin murah.

Perkembangan terbaru, Tash kini rancak mempromosikan filem lakonannya, Hero: Jangan Bikin Panas yang akan ditayang pawagam pada 3 Oktober nanti.

Selain Tash, filem ini turut dibintangi Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha dan penyanyi Syafiq Farhain.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 5:01am
d