rap

'Mahu duet dengan Mak Iti'

Oleh Najiy Jefri

BAK kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan bakat luar biasa si cilik Ummi Umairah.

Mana tidaknya, bakat nyanyian Umairah diwarisi daripada ibu saudaranya yang juga penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Darah seni yang mengalir dalam tubuhnya menjadikan dia cukup istimewa dan semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat.

Mengakui menyimpan keinginan untuk berduet dengan ibu saudaranya itu, Umairah yang mesra disapa sebagai Umai bagaimanapun mahu mengasah bakatnya terlebih dahulu.

“Saya memang teringin nak berduet dengan Mak Iti (Siti Nurhaliza) tetapi belum bersedia untuk memberitahunya lagi.

“Kalau diberi peluang satu hari nanti memang saya tidak akan lepaskan. Saya tahu ramai nak berduet dengan Mak Iti, begitu juga dengan saya.

“Bagaimanapun saya nak asah lagi bakat nyanyian sebelum berduet dengannya. Moga impian ini jadi kenyataan,” katanya.

Pada usia lapan tahun, Umai dilihat berpotensi besar untuk mewarisi sejarah kegemilangan ibu saudaranya dalam gelanggang seni.

Selepas menyertai program Ceria Megastar Ministar tahun ini, Umai berhasrat untuk merakamkan single solo berentak balada.

“Insya-Allah saya bakal keluarkan single solo tak lama lagi. Saya dan ibu masih mencari lagu sesuai.

“Saya beritahu ibu yang saya teringin tampil dengan single balada untuk percubaan sulung ini,” katanya.

Menurut Umai, sejak kecil dia sering mendengar lagu balada terutama lagu nyanyian Siti.

“Lagu balada sudah melekat di hati tetapi saya juga boleh bawa pelbagai genre muzik.

“Saya tidak mahu dikenali sebagai penyanyi yang tahu satu genre sahaja. Kalau boleh saya nak jadi seperti ibu saudara saya yang hebat membawakan pelbagai genre muzik,” katanya.

Bukan hanya berpeluang mencanai bakat dalam bidang nyanyian, Umai juga dilamar menjayakan drama.

Umai mengakui teruja untuk memulakan penggambaran drama itu kerana bakal meraih pengalaman baru.

“Saya tidak pernah ada pengalaman berlakon. Drama yang bakal saya bintangi ini adalah percubaan pertama.

“Saya terima tawaran ini sebab saya nak jadi lebih berani dan bergaul dengan ramai orang. Saya nak pastikan diri saya lebih yakin di atas pentas dan di depan kamera.

“Ibu selalu beri galakan dan sokongan supaya saya jadi berani dan jangan takut untuk mencuba. Justeru, saya ambil tawaran ini sebagai tanggungjawab yang harus dipikul,” katanya yang belum dapat berkongsi butiran drama terbabit.

Sementara itu, Umai bakal terbabit dengan konsert Malam Kemala Irama 2.0 (MKI 2.0) yang bakal diadakan di Panggung Eksperimen Aswara pada 20 dan 21 September ini bersempena meraikan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Lebih mengujakan, pada konsert berdurasi dua jam itu, kesemua lagu yang bakal dialunkan 12 penyanyi adalah lagu nyanyian Siti Nurhaliza yang juga Ahli Lembaga Pengarah Aswara.

Ternyata si cilik ini berbesar hati dapat menyampaikan lagu dendangan ibu saudaranya.

“Saya gembira dipilih pihak penganjur untuk sama-sama terbabit dalam konsert ini.

“ Walaupun ada beberapa bahagian dalam lagu Mak Iti agak sukar dinyanyikan, saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Selain Umai, MKI 2.0 akan turut dimeriahkan dengan nyanyian graduan Fakulti Muzik Aswara iaitu Asmidar, Edie Nazrin, Fitri Hiswandy, Ezdianie Hayatie, Iqqa Ahmad, Mira Rahim, Aruel Ariel, Hazra, Ayrina Norzarina, Abby Sabiha dan Ajude.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 5:05am
d