rap

Sufian bantu Zynakal dapat rawatan

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SEBAGAI rakan, penyanyi popular Sufian Suhaimi turut membantu bakat baru dan komposer muda, Muhammad Raziq Rosli atau Zynakal untuk mendapatkan rawatan.

Akhir Ogos lalu, Zynakal dilaporkan bertindak di luar batasan secara tiba-tiba dengan cuba mencederakan pekerja stesen minyak dan bertindak kasar terhadap polis.

Disebabkan itu juga penyanyi lagu Terbang itu didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas mengaku salah kerana mencederakan pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.

Sufian yang bekerjasama dengan Zynakal menghasilkan lagu Mencoba, sewaktu ditemui hari ini berkata, keadaan rakannya itu kini semakin baik selepas dia membantu dengan membawanya mendapatkan rawatan yang diperlukan.

“Sebagai kawan rapat saya tahu Zynakal bukan macam itu sikapnya. Dia seorang yang pemalu dan sangat merendah diri. Lebih daripada itu Zynakal juga sangat menghormati orang,” katanya.

Kata Sufian, apabila mendengar Zynakal ditahan polis dan dijatuhkan hukuman, dia sangat terkejut dan berkata apa yang dilakukan temannya itu adalah di luar daripada norma sikap sebenarnya.

“Kami berkawan rapat seperti keluarga, jadi apabila ada antara ahli keluarga berada dalam kesusahan sudah tentu kita harus membantunya,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, dia membantu Zynakal untuk mendapatkan rawatan sama ada dari sudut zahir mahupun batin, dan mengembalikan kesihatan rakannya itu dari sudut fizikal mahupun mental.

“Sudah tentu apa dilakukan Zynakal itu berbeza dengan dirinya sebenar dan sebagai kawan yang sudah saya anggap sebagai keluarga tentunya mahu tahu kenapa dia bertindak sedemikian,” katanya.

Katanya, rawatan dilakukan untuk Zynakal masih diteruskan hingga kini dan buat sementara waktu rakannya itu sedang berehat daripada karier seni.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 7:14pm
d