rap

Usaha murni Saleem

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KETIKA hayatnya, Allahyarham Saleem seorang yang prihatin dan pernah beberapa kali mengadakan persembahan amal bagi membantu rakan-rakan yang kurang bernasib baik. Walaupun sudah dijemput Ilahi pada usia 56 tahun, 14 Oktober tahun lalu, usaha ini diteruskan isterinya, Julia Bachok.

Menerusi syarikatnya SALJU Entertainment, Julia yang dibantu beberapa pihak dalam industri muzik tempatan antaranya Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) akan menganjurkan persembahan mini Tribute to Saleem (Suara Emas Satu Kesan Abadi) yang akan berlangsung di Panggung Asia, Jalan Gombak pada 6 Oktober ini.

Pengurus Projek, Acit Kamaruddin berkata, penganjuran persembahan amal ini dibuat mengikut konsep yang pernah dilakukan Saleem.

“Ia adalah untuk amal di mana sebahagian kutipan akan diberikan kepada badan kebajikan yang memerlukan dan juga rakan artis yang kurang bernasib baik antaranya Shima dan Zaiton Sameon.

“Untuk persembahan nanti, kami akan membariskan enam nama besar seperti Ameng, Tam Spider, Shima, Zaiton Sameon, Izam EYE dan Farhan AF bagi menghiburkan peminat.

“Persembahan berbentuk makan malam steamboat dan seorang peminat akan dikenakan bayaran RM150 untuk pakej ini. Tempat ini boleh memuatkan 400 peminat,” katanya.

Menurutnya, persembahan ini menampilkan lagu-lagu nyanyian Saleem sepenuhnya tanpa lagu penyanyi lain.

“Setiap artis diberi pilihan menyanyikan lagu popular Saleem, manakala persembahan mereka akan diiringi pemuzik pengiring.

“Asalnya program ini akan dibuat di lokasi yang besar iaitu Dewan PGRM. Namun ramai peminat minta buat di Panggung Asia kerana kosnya berpatutan. Jadi, kami buat ‘test market’ di sini terlebih dulu,” katanya.

Sementara itu, Julia berkata, SALJU Entertainment juga mempunyai penyanyi sendiri iaitu Irwan Ahmad yang akan diketengahkan dalam showcase itu.

“Pemilihan Irwan dibuat kerana suaranya hampir 80 peratus menyamai Saleem. Dia pernah jadi protege Tam Spider dalam program Mentor Otai.

“Selain itu, saya sebenarnya turut jemput Syafiq Farhain. Saya tak pernah ketepikan dia. Apatah lagi dia memang anak arwah abang Saleem. Insya-Allah kemungkinan besar dia akan turut serta dalam persembahan

ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga bakal menggunakan bekas anggota Iklim untuk terbabit dalam persembahan ini.

“Insya-Allah saya akan ambil mereka. Ia juga salah satu cara untuk bantu kumpulan arwah. Tarikh 6 Oktober ini dipilih bukan kerana dekat dengan tarikh kematian abang. Ia cuma hanya kebetulan saja kerana kebetulan lokasi ini kosong pada tarikh terbabit.

“Tarikh asalnya ialah 12 Oktober, lagi dekat dengan tarikh kematian arwah. Tapi akhirnya kami pilih 6 Oktober kerana ia lagi sesuai,” katanya.

Tiket berharga RM160 sudah mula dijual. Maklumat lanjut boleh didapati di Facebook Juriah Bugis dan Panggung Asia Official.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 5:00am
d