rap

Sufie Rashid selamat diijabkabul

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI, Sufie Rashid, 28, kini sah bergelar suami kepada pasangannya, Nurulain Md Yusof selepas diijabkabulkan dengan sekali lafaz tepat jam 9.30 pagi hari ini.

Sufie dinikahkan oleh bapa kepada pengantin perempuan itu sendiri, Md Yusof dengan bersaksikan Pendaftar Nikah Putrajaya, Ustaz Hasli Othman.

"Saya bersyukur kerana dijodohkan dengan Ain. Ain adalah isteri yang sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang selebriti.

"Walaupun sudah bergelar suami, dia tidak akan pernah menghalang untuk saya terus berkarya dalam industri seni," katanya kepada Harian Metro.

Sufie juga meminta supaya peminatnya mendoakan kesejahteraan rumah tangganya bersama isteri.

Majlis akad nikah Sufie dan Nurulain berlangsung serba sederhana dan dihadiri oleh keluarga terdekat serta teman rapat kedua-dua belah pihak di sebuah hotel di Putrajaya.

Sufie memberikan tujuh dulang hantaran berserta cek bernilai RM20,000 dan mas kahwin sebanyak S$300 (RM910.02) manakala pihak Nurulain pula membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Kedua-dua mempelai berkenalan pada penghujung 2016 sebelum mengikat tali pertunangan pada 15 Disember 2018.

Majlis resepsi akan berlangsung esok, bertempat di Glam Hall, Mustapha Kamal, Damansara Perdana.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 12:42pm
d