rap

Shazroul AF4 kritikal

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI dan bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Shazroul Fazlie yang dilaporkan kritikal dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) pernah memberikan bayangan mengenai status kesihatannya.

Ibunya, Noraini Elias berkata, penyanyi yang pernah muncul dengan album Cuma itu berada di ICU akibat jangkitan kuman pada usus.

Sebelum ini Shazroul menerusi laman sosial Facebook miliknya pernah memuat naik status mengenai keadaan kesihatannya yang tidak menentu.

Tulisnya, dia tidak mengalami sakit kepala, selsema ataupun batuk tetapi suhu badan naik mendadak.

“Ia membimbangkan kerana saya tidak rasa sakit-sakit badan atau berasa mahu pitam tetapi tubuh saya panas seperti kuali panas dan harapnya tiada yang serius,” tulisnya.

Bagaimanapun status yang dimuat naik Shazroul itu sebenarnya petanda dia ada masalah pada bahagian usus. Sehinggalah kali terakhir dia memuat naik status memaklumkan dirinya tidak sihat sebelum dilaporkan berada di ICU.

Menurut ibunya, disebabkan jangkitan kuman Shazroul terpaksa menjalani pembedahan memotong ususnya yang bocor sepanjang 90 sentimeter hari ini.

“Anak saya dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di ICU HKL. Sebelum ini doktor melakukan pembedahan sama pada 10 September lalu sebaik sahaja usus Shazroul disahkan dijangkiti kuman,” katanya.

Shazroul pernah menghasilkan lagu duet dengan Adzrin Azhar menerusi Pencuri Hati selain menyanyi sepenuh masa di Hotel Concorde Shah Alam.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 5:42pm
d