rap

Amyra sentiasa dipantau

Oleh Najiy Jefri

BIARPUN hamil lima bulan, pelakon Amyra Rosli masih kuat meneruskan penggambaran drama terbaru lakonannya, Cemburu Seorang Wanita.

Amyra berkata, dia bersyukur tidak mengalami sebarang alahan atau insiden tidak diingini ketika penggambaran.

“Ketika tawaran ini datang saya belum hamil. Apabila penggambaran dilanjutkan tarikhnya saya disahkan hamil namun memilih untuk meneruskannya.

“Bagi saya selagi tak cuba kita tak rasa pengalaman pahit manis menjalani penggambaran ketika hamil. Apabila hamil anak sulung saya berehat hampir setahun dan tidak menerima sebarang tawaran.

“Namun, memandangkan tawaran ini saya sudah terima dan tidak mahu menyusahkan pihak produksi, ia diteruskan,” katanya.

Menurut Amyra, walaupun ada hari penggambaran berakhir jam 3 pagi, dia tiada masalah untuk meneruskan kerja.

Katanya, kehadiran suami tercinta, Amar Baharin yang turut bertindak sebagai pelakon utama dalam drama terbabit membuatkan dia sentiasa dipantau supaya berada dalam keadaan baik.

“Cabaran utama yang perlu saya hadapi cuma perlu mencari pakaian bersesuaian dengan keadaan diri. Semakin hari perut makin membesar dan saya perlu mencari baju yang menutup bahagian perut.

“Selebihnya semua berjalan dengan baik. Kehadiran Amar juga menyenangkan kerana kali ini dia mendapatkan saya seorang pembantu peribadi selain dia yang sentiasa berada di sisi.

“Amar akan risau jika saya penat atau tidak sedap badan. Dia akan pastikan saya berada dalam keadaan yang selamat dan tidak tertekan,” katanya.

Selain Amyra dan Amar, drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu turut dibintangi Emma Maembong dan Adik Darwish.

Bergandingan kembali dengan suami tercinta, Amyra yang mulanya ditawarkan memegang karakter yang dibawakan Emma bagaimanapun menolak kerana enggan menjejaskan diri serta kehamilannya.

Kata Amyra, dia seboleh mungkin tidak akan membawakan karakter yang memerlukan dia melontarkan dialog tidak baik terhadap perkahwinan setiap kali bergandingan dengan Amar.

“Saya tidak mahu bawa watak yang tidak baik jika bergandingan dengan Amar kerana bimbang ia makan diri.

“Saya lebih rela membawakan watak biasa daripada memerlukan saya berdialog perkataan tidak manis di hadapan suami meskipun ia sekadar lakonan,” katanya.

Menyentuh mengenai drama terbabit yang akan menjadi slot terbaru di Astro Ria, Amyra mengakui agak gementar memikirkan harapan penonton kerana perlu bersaing dengan drama yang ditayangkan di slot Akasia.

“Menerusi drama ini watak saya tidak banyak beza dengan drama Nur, tapi jalan cerita kali ini sangat menarik.

“Saya akui gementar kerana drama ini akan ditayangkan di slot baru di Astro Ria. Pasti saingan akan lebih sengit kerana perlu bersaing dengan drama di slot Akasia.

“Apa pun, saya yakin percubaan ini akan memancing perhatian penonton kerana drama ini berat dan menarik untuk ditonton,” katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 5:00am
d