rap

Kisah wanita 'jual mahal'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PERTAMA kali mendengar lagu berjudul Mahal ciptaan tiga komposer iaitu Omar K, Ikhwan Fattana dan John Jeevasingham, tidak sangka bahawa ia lagu Melayu yang dinyanyikan penyanyi berbangsa Cina bernama Charis Ow.

Dari segi nyanyian, ini bukan single solo pertama Charis. Jadi, dia sememangnya sudah berpengalaman menyampaikan lagu Melayu sejak mula muncul pada 2017.

Meneliti muziknya, tentu ramai sudah faham mengenai identiti muzik Omar K yang sentiasa segar dan kali ini kolaborasinya dengan dua komposer lain umpama menambah warna dalam karya ini.

Melodi lagunya mengingatkan kepada lagu-lagu pop yang pernah menjadi siulan ramai antaranya lagu nyanyian Nabila Razali dan Ayda Jebat.

Liriknya pula mengisahkan mengenai wanita yang ‘jual mahal’ atau meletakkan harga dirinya di tempat tertinggi apabila ditinggalkan sang kekasih.

Sejujurnya, apabila melodi pertama lagu ini diperdengarkan, muncul satu perasaan gembira dan dapat dirasakan bahawa lagu ini adalah satu karya yang menyeronokkan.

Secara tak langsung, mesej jelas yang ingin disampaikan komposer dan Charis sendiri sebagai penyanyi adalah bagaimana untuk bangkit semula selepas dikecewakan.

Tidak bersendirian, Charis turut diiringi penyanyi rap Loca B yang melantunkan beberapa bait rap sekali gus menambah elemen moden dalam lagu rancak ini.

Video muziknya juga sudah dilancarkan di YouTube dan begitu menarik dengan permainan warna yang mencerminkan seni Pop atau ‘Pop Art’ itu sendiri.

Sedikit sebanyak, ada beberapa elemen ala video muzik Kpop dari Korea Selatan untuk disesuaikan dengan melodi dan kehendak ramai peminat muzik hari ini. Setakat ini ia sudah mencatat 10,000 tontonan.

Lagu: Mahal

Penyanyi: Charis Ow menampilkan Loca B

Komposer: Omar K, Ikhwan Fattana & John Jeevasingham

Lirik: Omar K, Ikhwan Fattana, John Jeevasingham & Loca B

Terbitan: WebTV Asia

Edaran: Warner Music Malaysia

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 5:10am
d