rap

Uriah curi perhatian

Oleh Najiy Jefri

SEJAK namanya diumumkan sebagai 36 finalis dalam pertandingan opera yang popular di China, Super Vocal 2, penyanyi kelahiran Malaysia Uriah See antara yang mencuri perhatian ramai.

Ketika dipilih menyertai program realiti itu, dia amat menghargai peluang yang diberikan kerana sejak kecil Uriah sudah didedahkan dengan muzik klasikal dan memperoleh Gred 8 dalam Diploma Muzik Klasikal.

“Muzik klasikal adalah sesuatu yang amat saya minati dan saya ingin mencabar diri sejak kecil. Apabila dipilih menyertai Super Vocal Musim Kedua, saya rasa amat terharu dan teruja.

“Dalam kegembiraan itu ada kesedihannya apabila saya mendapat tahu penggambaran program TV itu akan bercanggah dengan jadual penerbitan album. Ia membuatkan saya dalam dilema kerana saya tahu bukan senang nak dapat peluang ini.

“Namun, saya yakinkan diri untuk merebut peluang ini supaya tidak menyesal di kemudian hari. Mengenai penerbitan album baharu saya itu, tarikh lain akan ditetapkan kemudian selepas selesai penggambaran program terbabit,” katanya.

Siapa sangka, sepanjang bernaung di bawah pengurusan Idea Music Entertainment, Uriah berjaya menimba pelbagai pengalaman, sekali gus menjadikannya sebagai artis serba boleh.

Uriah yang kini menjalani latihan dan penggambaran program nyanyian itu turut memberitahu dia berpeluang membuat penampilan dalam program TV, Day Day UP.

Selain aktif sebagai penyanyi, Uriah kini mencuba nasib dalam bidang lakonan dan ternyata percubaan pertamanya sebagai pelakon utama drama bersiri popular di Singapura, Fried Rice Paradise mendapat banyak pujian ramai.

Buktinya, video pengenalan mengenai Uriah yang dimuat naik di Facebook meraih tontonan sehingga 1.9 juta dalam tempoh dua bulan saja.

Ditanya mengenai pengalaman ketika menjalani penggambaran selama tiga bulan, Uriah mengakui menimba ilmu daripada barisan pelakon di Singapura.

“Saya banyak menimba pengalaman manis bersama barisan pelakon lain. Saya harap dapat bekerjasama dengan mereka lagi pada masa akan datang.

“Menerusi drama itu saya berlakon sebagai Hennessy Goh, anak angkat seorang hartawan yang bakal mewarisi kekayaan bapanya,” katanya.

Tidak hanya aktif sebagai pelakon dan penyanyi, Uriah juga mahir mencipta lagu.

Dia bersyukur apabila lagu duet nyanyian Victor Wong dan Azora Chin, Listen to Your Inner Voice yang sering dimainkan di stesen radio mendapat sambutan ramai.

Uriah juga teruja apabila mengetahui lagu itu adalah salah satu lagu utama yang terdapat dalam album dendangan penyanyi Azora Chin.

Sebagai anak seni yang berwibawa, Uriah berjanji akan terus mengembangkan bakat seninya hingga ke peringkat antarabangsa dan sekali gus mengharumkan nama negara.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 5:10am
d