rap

'Saya tak galak pelajar sekolah hisap vape' - Nabil Ahmad

Oleh Norhayati Nordin

PENGACARA dan pelawak popular, Nabil Ahmad, 36, menafikan pembabitannya dalam perniagaan perasa rokok elektronik atau vape memberi pengaruh kepada remaja terutama pelajar sekolah untuk menghisap vape. Nabil berkata, pembabitannya dalam perniagaan yang dikongsi bersama seorang kenalan sejak sebulan lalu untuk menarik golongan perokok yang sinonim dengan industri vape.

“Saya terbabit dengan perniagaan ini bukan nak pengaruh remaja khususnya pelajar sekolah. Setiap orang ada pilihan. Cuma, ibu bapa harus memainkan peranan memantau anak-anak,” katanya.

Nabil berkata, jangan mudah membuat dakwaan sewenang-wenangnya hanya kerana dia seorang selebriti.

“Apabila membabitkan vape, macam-macam diperkatakan hingga timbul dakwaan saya cuba pengaruh remaja dan pelajar sekolah kerana status saya sebagai artis.

“Sebelum ini ketika saya terbabit dengan aktiviti mempromosikan pakej umrah, kurang pula jadi perhatian. Ketika saya diundang memberi motivasi untuk perniagaan pun kurang diberikan perhatian,” katanya.

Nabil berkata, dia positif menceburi bidang perniagaan kerana ada peluang dan sebagai inisiatif menambahkan pendapatan.

“Sekarang saya tidak boleh hanya berharap sepenuhnya pada tawaran undangan persembahan semata-mata. Keadaan ekonomi tidak menentu dalam industri hiburan sekarang membuatkan saya perlu berani untuk berniaga,” katanya.

Nabil berkata, dia pernah tidak bekerja selama empat bulan kerana tiada undangan persembahan dan tawaran berlakon.

Katanya, sepanjang tempoh itu dia hanya mengharapkan pendapatan sebagai penyampai radio dan pengacara program MeleTop.

Dalam masa sama, Najib turut menjenamakan semula ‘tagline’ popularnya Lu Pikirlah Sendiri kepada Lu P’ K selain bakal mengeluarkan single berjudul Lu P’ K ciptaan DJ Fuzz dan lirik oleh Aman Ra.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 1:16pm
d