rap

Usah persia peluang kedua

Oleh Ardini Sophia Sina

SEBELUM ini, nama pelakon jelita Uqasha Senrose tidak pernah sunyi dari kontroversi.

Bagaimanapun, tahun ini membawa pelbagai kenangan manis buatnya dalam bidang lakonan.

Perjalanan seninya juga semakin baik apabila setiap naskhah lakonannya berjaya mendapat perhatian. Malah, penonton turut memuji lakonannya yang mampu ‘menghidupkan’ sesuatu watak.

Matang menghadapi pelbagai ujian, Uqasha menganggap setiap peristiwa yang berlaku adalah proses menjadi insan lebih baik dan bukan dijadikan alasan untuk terus berada pada tahap sama.

“Apa yang berlaku sebelum ini adalah proses untuk mematang dan mendewasakan saya. Semua orang cuba melakukan yang terbaik namun kadang-kadang kecundang. Tapi, dari situ kita belajar memperbaiki diri.

“Bagaimanapun, kita sentiasa diberikan peluang kedua. Oleh itu, kita perlu gunakan kesempatan itu dengan sebaik mungkin untuk membetulkan semula perkara dalam hidup kita,” katanya.

Berusia 27 tahun, bukan hanya sekali Uqasha melalui episod duka apabila cinta yang dibina terlerai di tengah jalan.

Kini selesa menjalani kehidupan tanpa teman lelaki, wanita itu memilih untuk memberikan tumpuan pada kerjaya.

Ada segelintir pihak yang tertanya-tanya, adakah hati Uqasha sudah dimiliki apatah lagi adiknya yang juga pelakon iaitu Nelydia Senrose kini diulit bahagia berumah tangga.

Menyedari perkara itu, Uqasha sedikit pun tidak tertekan hingga menyebabkan dia terburu-buru untuk berkahwin.

Baginya, hal itu tidak mengganggu dirinya.

“Kalau ada yang bandingkan kehidupan saya dan adik-adik pun, tidak mengapa. Perjalanan hidup setiap individu itu berbeza. Saya tidak terkesan pun dengan tanggapan mereka.

“Buat masa ini, fokus utama adalah kerjaya. Walaupun Nelydia lebih dulu mendirikan rumah tangga, tetapi saya tidak tertekan pun. Jalan hidup setiap orang itu sudah ditentukan.

“Saya juga selesa hidup solo kerana apabila tiada komitmen dalam hubungan, saya dapat beri tumpuan hanya pada kerjaya. Saya juga hanya perlu rujuk ibu sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Terbabit dengan filem Sumpahan Jerunei, Uqasha mengakui wataknya dalam filem itu mencabar kredibilitinya sebagai pelakon. Antara cabaran yang dilakukannya adalah terjun sungai yang airnya agak keruh.

“Apa yang saya boleh katakan, watak Bee sangat berbeza dari watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Ia lebih berat dan memerlukan saya bermain emosi dengan lebih mendalam.

“Saya harap apabila filem ini ditayangkan, ia akan mendapat tempat di hati penonton kerana ia ada suntikan adat dan budaya, sekali gus membuatkan filem ini unik,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 5:20am
d