rap

Video sekadar hiburan, tak sesuai belajar - Sajat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"KALAU sekadar untuk hiburan, okeylah. Tapi, kalau untuk pembelajaran sangat tak sesuai. Janganlah. Itu memalukan," kata penyanyi yang juga ahli perniagaan, Nur Sajat mengenai video Mari Belajar ABC bersama Sajat yang kini tular di Internet.

Video berdurasi 2 minit 20 saat itu memaparkan kompilasi video Sajat yang disusun mengikut abjad dan disesuaikan dengan perkataan disebut.

Sajat, 34, berkata, dia kagum dengan hasil kreativiti pihak terbabit selain menyifatkan individu itu adalah peminat setianya.

"Kali pertama tengok, saya tergelak sebab sangat kelakar. Tidak menjangka sama sekali individu itu mempunyai koleksi video saya yang mana kebanyakannya diambil daripada video 'live'.

"Malah, ada antara video itu sebenarnya dari 2014 hingga sekarang. Jadi, teruja sangat sebab ramai yang mengikuti perkembangan saya. Kiranya ala-ala peminat tegar.

"Saya tak marah pun, tapi nak ucapkan tahniah sebab sangat kreatif. Sampai saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Sajat berkata video itu hanya sesuai dijadikan bahan hiburan dan bukan tujuan pembelajaran kanak-kanak.

"Saya terima ia dengan positif sebab mampu menghilangkan tekanan pada yang menonton. Apatah lagi kalau sedang bosan, boleh layan.

"Jangan sesekali ajar atau tunjuk pada kanak-kanak. Sebab banyak perkataan mencarut yang tak sesuai kerana ia spontan ketika saya buat 'live'," katanya.

Disebabkan video yang dimuat naik sejak semalam itu, nama Sajat kini trending nombor satu di Twitter.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 4:57pm
d