rap

Jatt menangis dengar anak boleh menyanyi

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI utama kumpulan Black Dog Bone (BDB), Tahir Ali atau Jatt akui menangis sewaktu pertama kali mendengar anaknya Alisha menyanyi.

Jatt yang ditemui berkata, dia menangis kerana terharu dan tidak menyangka permata hatinya hasil perkahwinan dengan pelakon, pelawak dan penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah itu boleh menyanyi dengan baik.

“Saya tidak menyangka kerana dia akhirnya mewarisi bakat yang saya miliki. Sebab setahu saya sepanjang dia membesar tidak pernah pula menunjukkan minat ke arah itu.

“Ibunya, Shahirah turut memberitahu sebelum ini memang Alisha tidak pernah tunjuk kemampuannya menyanyi di hadapannya mahupun ahli keluarga lain.,” katanya.

Menurutnya, semua orang mengetahui bakat dimiliki Alisha apabila anaknya itu merakam nyanyian dan memuat naik ke laman sosial miliknya.

Kata penyanyi yang kini masih aktif menyanyi di kelab malam itu, dalam usia mencecah 21 tahun anaknya itu seharusnya sudah boleh memikirkan untuk membina karier sebagai penyanyi secara serius.

“Bagaimanapun dilemanya sekarang, dia tidak mahu serius dengan bakat nyanyian yang dimiliki walaupun sudah banyak kali saya mahupun ibunya menasihati.

“Dia sekarang ini lebih suka duduk di pulau dan melakukan aktiviti selam skuba. Pada saya, sayang kalau bakat yang anak ada ini tidak diketengahkan. Saya pula tidak mahu terlalu memaksa sekiranya dia sendiri tidak mahu serius,” katanya.

Katanya, dengan penyertaannya dalam program realiti Gegar Vaganza musim keenam, diharapkan mampu membakar semangat Alisha untuk serius bergelar penyanyi.

“Saya mengharapkan apabila menyertai Gegar Vaganza dan dia datang menyaksikan bapanya menyanyi setiap minggu akan membuatkan hatinya terbuka menyanyi secara serius.

“Sebagai bapa sudah tentu saya akan melakukan apa saja sekiranya dia serius mahu menjadi penyanyi,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 5:35pm
d