rap

Zamani terharu Juliana sanggup tunggu 14 tahun

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI Zamani Ibrahim mengakui terharu dengan kesabaran isterinya, Nur Juliana Abdul Rani yang sanggup menantinya selama 14 tahun sebelum mereka disatukan sebagai suami isteri Jumaat lalu.

Zamani, 48, yang menghubungi Harian Metro mengakui, sangat berterima kasih kepada Juliana, 36, kerana ikhlas memilihnya sebagai suami.

“Dia seorang yang sangat sabar dan memang sanggup terima saya seadanya.

“Sebelum ini saya pernah lalui banyak fasa dalam hidup. Ada kala turun dan tergolek duit langsung tiada tapi kesabaran yang ada padanya buatkan saya menilai serta pilih dia.

“Kalau ikutkan saya pernah fikir nak menghabiskan sisa hidup seorang diri dan enggan kacau kehidupan orang lain,” katanya.

Penyanyi kumpulan Slam itu berkata, keadaan dirinya membuatkan dia enggan memikirkan soal kahwin, tetapi mengenangkan kesabaran dan kesanggupan Juliana, dia akhirnya membuat keputusan berkahwin.

“Dah tertulis jodoh kami untuk bersama. Saya pun gembira tengok komen peminat yang mendoakan kebahagiaan kami.

“Terima kasih kepada peminat kerana faham situasi kami,” katanya.

Tanpa berselindung, Zamani yang bernikah secara tertutup dengan Juliana di sebuah lokasi di Ampang berkata, perasaannya berdebar sebelum majlis akad nikah mengenangkan keputusan yang dibuat mereka.

“Saya suspen bukan fikir fasal majlis akad nikah yang akan ditempuhi, sebaliknya fikir apa yang akan berlaku selepas ini.

“Saya sedar saya artis dan mempunyai ramai kawan antaranya rakan media serta peminat. Jadi, apa reaksi mereka apabila saya pilih untuk rahsiakan perkara ini.

“Apapun apabila tengok muka bakal isteri, saya fikir kena fokus dan teruskan dulu hal ini,” katanya.

Menurutnya, selepas akad nikah selesai, dia segera meminta pihak ZIME Production memaklumkan perkara itu di Instagram rasmi mereka.

“Niat saya memang nak beritahu. Jangan ada yang kecil hati. Harapnya apabila saya buat resepsi nanti datanglah.

“Memang saya ingat semua dan pada hari resepsi nanti jemputlah datang. Namun lokasi dan tempat belum ada kerana ramai pihak berminat nak taja dan kami tengah pilih mana yang sesuai.

“Buat masa ini kami akan fokus pergi umrah pada 30 Oktober dan akan pulang awal November,” katanya.

Ditanya berkenaan anak, Zamani mengakui inginkan zuriat sendiri dan akan berusaha mendapatkannya secepat mungkin.

“Sudah tentulah setiap orang yang berkahwin nakkan anak. Tapi memandangkan faktor usia dan kesihatan saya yang membabitkan bahagian belakang, memang saya serahkan pada Allah.

“Namun, usaha tetap usaha. Saya akan cuba mana cara yang boleh untuk mendapatkan zuriat sendiri,” katanya.

Berita berkaitan

Alhamdulillah, Zamani selamat bernikah

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 6:29pm
d