rap

BPR terus mantap

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

WALAUPUN dipanjat usia, permainan muzik mantap selain lagu-lagu hit yang ditampilkan jelas menjadi daya penarik persembahan kumpulan BPR atau Bumiputra Rockers dalam siri Konsert Minggu Ini terbitan RTM, baru-baru ini.

Selama satu jam setengah, peminat didendangkan dengan lagu-lagu popular kumpulan ini yang sememangnya meniti di bibir mereka pada era kegemilangan muzik rock era 1980-an dan 1990-an.

Sekian lama tidak muncul di kaca TV, Joey, 56, (penyanyi), Awang, 55, (gitar), Yem Bai, 53, (bass), Enal, 58, (dram) serta dua pemuzik undangan, Rizal (gitar) dan Im (keyboard) memanfaatkan kesempatan yang diberikan dengan memberikan persembahan terbaik sekali gus berjaya meletakkan program itu pada kedudukan pertama ‘trending’.

Kehadiran peminat sememangnya tidak semeriah seperti yang diperlihatkan menerusi Konsert Minggu Ini Exists Reunion, tetapi sikap ‘sporting’ mereka yang sentiasa memberikan tepukan gemuruh dan menyanyi bersama Joey sudah memadai.

Lagu Selamat Pagi Malaysia menjadi pilihan BPR bagi membuka pentas persembahan

mereka. Ia dilihat sesuai dengan situasi negara yang baru saja meraikan Hari Kemerdekaan.

Tanpa menunggu lama, Joey memilih menyanyikan lagu Dajal yang agak rancak. Bagaimanapun dia kemudian menyanyikan lagu slow rock mereka yang begitu popular iaitu Aku Hanya Serangga.

Setiap kali menyanyikan sesebuah lagu, Joey tidak lupa menyelitkan cerita di sebalik peristiwa penghasilannya dan maksud di sebalik lirik lagu terbabit.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu Airmata Jernih dan Maghrib yang menjadi antara koleksi lagu popular BPR suatu ketika dulu.

Semakin lama, peminat terus dibuai keseronokan apabila didendangkan dengan barisan lagu-lagu popular BPR iaitu Airmata Jernih, Maghrib, Silaturahim, 1511, Harum Subur Dihati, Dari Sinar Mata dan Seribu Tahun Takkan Mungkin.

Peminat masih mengingati setiap bait liriknya dan turut sama ‘sing a long’ bersama Joey dan jika diikutkan, dia boleh saja berehat membiarkan peminat menghabiskan lagu-lagu ini.

Lain-lain lagu yang dinyanyikan ialah Black Night (duet dengan Rahim Maarof) dan It’s My Life.

Rahim yang tampil sebagai artis undangan turut menyanyikan lagu popular berjudul Cinta Kristal dan Hipokrasi.

Tidak keterlaluan dikatakan BPR lahir dengan pakej lengkap pada zamannya kerana album mereka menampilkan lagu yang menarik didengar serta mengandungi mesej mendalam.

Joey mengakui amat berpuas hati dengan persembahan mereka serta rekaan pentas yang ditampilkan.

“Pentasnya cantik dan saya seronok kerana ramai kawan-kawan datang menonton. Mereka dapat duduk dengan selesa.

“Paling seronok apabila penerbit puas hati kerana program ini ‘trending’ nombor satu. Dalam lagu 1511 kami tampilkan pesilat dan pada saya ia agak menarik kerana mereka adalah mahaguru dan bukan pesilat biasa,” katanya.

Joey berkata, BPR akan terus aktif mengadakan persembahan, namun dia bimbangkan keadaan kesihatan Enal yang mempunyai masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

“Dia tak boleh terlalu lasak sangat dan kami perlu prihatin dengan situasinya. Seperkara lagi, Yem pun nak tarik diri kerana komitmen kerja. Saya akan teruskan perjuangan BPR tapi tempatnya kenalah digantikan dengan orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 5:00am
d