rap

Biar Fasha beritahu hamil atau tidak - Elisya

Oleh Norhayati Nordin

"SAYA tak nak komen lebih. Saya rasa, biarlah Fasha sendiri yang beritahu dia mengandung atau tidak," kata pelakon Elisya Sandha.

Elisya, 20, berkata kakaknya sudah ada kehidupan berkeluarga yang memerlukan Fasha memberi tumpuan untuk mengurus anak dan karier.

“Namun, saya gembira untuk Fasha. Lagipun, dia selalu akan berkongsi dengan keluarga apa saja berita bila tiba waktunya," katanya.

Sebelum ini, pelakon Fasha Sandha ada memuat naik foto bersama suami yang juga pelakon Aidil Aziz serta dua anaknya, Putra Rayfal Ramli, 5, dan Putri Raysha Jemaima, 4, di Instagram (IG) dengan kapsyen ringkas ditulis, berlima.

Justeru, foto dimuat naik Fasha, 35, minggu lalu itu mendapat lebih 93,069 tanda suka dan 1,166 komen daripada sebahagian 4.5 juta pengikutnya di IG.

Malah, rata-rata komen ditulis pengikut termasuk rakan selebriti mengucapkan tahniah dan mendoakan terbaik buat Fasha sekeluarga yang berkemungkinan disangka sudah hamil.

Apapun, Elisya yang pernah dikaitkan bercinta dengan anak kepada seorang penerbit dan pelakon wanita terkenal, memberitahu dia hanya berkawan sahaja.

"Sehingga kini, hubungan kami masih lagi berkawan. Cuma, sekarang saya lebih selesa fokus pada karier kerana bukan mudah untuk bina nama.

"Di antara saya dan dia, perkenalan kami pun secara kebetulan. Malah, kakak saya (Fasha) dan ibunya sudah saling kenal lama," katanya.

Elisya yang kini dikenali dengan drama rantaian 80 episod, Puteri Yang Ditukar berkata, dia masih solo dan belum lagi menemui kekasih untuk serius bercinta.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 3:36pm
d