rap

Populariti atau bakat jadi ukuran BBNU?

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENYANYI baharu di negara ini atau budak baru nak up (BBNU) berdepan kesukaran untuk mengembangkan bakat kerana mereka diukur populariti menerusi YouTube.

Presiden Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA), Datuk Shahrul Nizam Mohd Yunus berkata, amalan sebegitu perlu dibuang kerana mengikis kualiti seseorang artis.

Memberi contoh katanya, DPA didatangi penganjur persembahan baru-baru ini dengan mengundang penyanyi bagi menjayakan persembahan.

"Kami mengenengahkan beberapa artis baharu tetapi ditolak dengan alasan tidak popular di YouTube.

“Mereka memberi syarat hanya artis memiliki tontonan video melebihi 500,000 boleh dijemput," katanya pada sidang media di sebuah pusat beli belah di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, menjadi kebiasaan seseorang penyanyi baharu tidak dinilai melalui bakat sebaliknya diukur penarafan melalui laman sosial itu.

"Kami pelik dengan situasi ini kerana ada artis menyanyikan lagu tidak berkualiti tetapi tontonan mencecah belasan hingga puluhan juta orang.

"Mereka kemudian dilabel popular, seterusnya menjayakan program televisyen. Ada BBNU menyanyikan lagu sedap didengar tetapi tontonan tidak tinggi," katanya.

Shahrul Nizam menegaskan, jumlah tontonan di YouTube boleh 'dibeli' dan 'penipuan' itu menjadikan mereka popular.

"Kerana perbuatan sebegini, artis berbakat kecewa dan menarik diri. Bermula episod pelik, mereka terpaksa mencipta kontroversi untuk menaikkan nama dan memalukan diri sendiri," katanya.

Atas sebab itu katanya, DPA akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan supaya menyediakan platform untuk menilai populariti artis melalui cara betul iaitu pencapaian, bakat dan kualiti.

Beliau sekali lagi menegaskan, rating di laman sosial boleh dimanipulasi yang mengikis kemampuan sebenar seorang penyanyi.

"Kami harap kerajaan akan menyediakan mekanisme ini. Sampai bila rating di YouTube akan menjadi tempat rujukan pihak industri," katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 10:10pm
d