rap

Kejutan penyampai radio menyanyi, menari di konsert

Oleh Rudy Imran Shamsudin

KEJUTAN bakal menjadi kenyataan apabila penyampai dua stesen bernaung di bawah Ripple, Hot FM dan Kool FM, sudah bersedia untuk tampil menyanyi dalam konsert Hot Kool Jam 2019 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang jam 7 malam esok.

Haiza mewakili rakan penyampai Hot dan Kool FM yang lain sewaktu ditemui di sesi raptai konsert berkata, barisan penyampai Kool dan Hot FM teruja selepas hampir dua minggu menjalani latihan.

“Usaha ini dilakukan bagi memberikan kelainan pada Konsert Hot Kool Jam 2019. Kalau persembahan ini tidak dilakukan pastinya konsert berlangsung malam esok tiada keistimewaannya.

“Bayangkan pendengar setia Hot FM akan dapat melihat penyampai Hot FM termasuk Syuk, Shuib dan Fizie mendendangkan lagu Berjuta Batu nyanyian asal Alleycats.

“Penyampai Kool FM termasuk saya, AG dan Muaz sendiri dicabar untuk menyanyikan lagu Kill This Love, siap dengan gerak tarian,” katanya.

Seperti diketahui umum katanya, sebelum ini Kool FM turut mengadakan kempen untuk Muaz belajar menyanyi dan sepanjang tempoh itu rakan penyampai paginya itu nampak bersungguh.

“Saya lihat percubaan Muaz semakin menjadi dan untuk melihat sama ada dia boleh menyanyi dengan baik atau tidak, pendengar dan peminat harus datang serta tengok sendiri,” katanya.

Selain penyampai dua stesen radio itu menyanyi dengan lagu diberikan, mereka juga akan bergabung mendendangkan lagu Fanatik nyanyian asal kumpulan KRU sambil menari.

Kata Haiza, selepas menjalani latihan selama dua minggu semua penyampai Hot FM dan Kool FM mampu melakukannya.

“Bagaimanapun cabaran yang harus dilalui semua penyampai apabila mereka perlu menyanyi dengan diiringi pemuzik secara langsung dan menari,” katanya.

Konsert Hot Kool FM juga akan turut diserikan dengan persembahan artis baru dan lama seperti Datuk Hattan, Ella, Ziana Zain dan Ramlah Ram.

Turut sama Khai Bahar, Siti Nordiana, Masdo, Sufian Suhaimi, Ismail Izzani, Neon Band dan Ara Johari.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 7:42pm
d