rap

Muaz lunas janji menyanyi di konsert

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYAMPAI Kool FM, Muazzanazzudin Mohamed atau Muaz, melunaskan janjinya apabila tampil menyanyi di hadapan 20,000 penonton yang hadir menyaksikan konsert Hot Kool Jam (HKJ) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, malam tadi.

“Dalam hidup tiada yang mustahil. Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.

“Apa yang penting usaha jangan putus asa serta sokongan orang sekeliling banyak membantu dan membolehkan kita melakukannya,” katanya sebaik selesai menyanyi.

Sepanjang tampil di atas pentas rakan penyampai Pagi Hari Di Kool FM (PHD Kool), AG dan Haiza bersama penyampai lain turut ada bersama sebagai tanda sokongan.

“Alhamdullilah, saya tidak rasa tertekan sepanjang berada di atas pentas cuma teringat kembali sepanjang sebulan belajar menyanyi. Sepanjang proses itu saya belajar untuk melakukan sesuatu kena ada minat mendalam.

“Untuk menjadi penyanyi berjaya memerlukan pasukan yang bagus. Mereka perlu kental kerana suara itu universal ada orang suka suara kita dan ada yang tidak,” katanya.

Muaz menyanyi sebagai menyahut cabaran kempen Muaz Kasi Jadi yang diuar-uarkan di Kool FM sebelum ini.

Muaz diberikan tugasan untuk mendendangkan lagu Belaian Jiwa dendangan asal kumpulan Carefree dan dipopularkan kembali Innuendo.

Sebelum itu menerusi kempen Muaz Kasi Jadi yang berlangsung selama lima minggu penyampai Kool FM itu turut menjalani latihan vokal di bawah seliaan penyanyi dan pelakon, Mark Adam.

Selain itu, Muaz turut mendapatkan tips daripada penyanyi popular dan profesional seperti Alif Sattar, Siti Nordiana, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini bagaimana hendak menyanyi dengan baik.

Selain Muaz penyampai Kool FM lain turut tampil menyanyikan lagu Lets Kill This Love nyanyian asal kumpulan Korea, Black Pink sementara penyampai Hot FM mendendangkan lagu Berjuta Batu dendangan asal kumpulan Alleycats.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 12:04am
d