rap

Dunia ceria, bahagia

Oleh Norhayati Nordin

KEBOLEHAN Datuk Aznil Nawawi, 57, tidak perlu dipertikai lagi apabila meraih pelbagai kejayaan sepanjang dua dekad memahat nama sebagai anak seni.

Lebih menjadi perhatian di pentas pengacaraan, Aznil membuktikan dirinya pandai mengambil hati peminat cilik dan sangat disenangi golongan itu.

Melihat prestasi cemerlangnya, tidak hairanlah mengapa program hiburan kanak-kanak Tom Tom Bak diminati ramai hingga ke hari ini meski pernah melabuhkan tirai pada 2011 selepas diperkenalkan sekitar 2007.

Bagi mengenang semula kecemerlangan Tom Tom Bak yang pernah mencungkil bakat beberapa selebriti popular seperti Elfira Loy, Sweet Qismina dan Wafiy Ilhan, musim baharu diperkenalkan.

Diketengah sebagai #Tom Tom Bak, sebanyak enam episod dihasilkan dan sudah pun bersiaran di Astro Ceria (saluran 611), setiap Jumaat, jam 8.30 malam awal September ini Menurut figura yang mesra disapa Pak Nil itu, dia selesa dan seronok bekerjasama dengan kanak-kanak.

“Saya suka kerana dunia mereka sangat indah dan bahagia.

“Kanak-kanak penuh kasih sayang dan ikhlas. Saya tenang bekerja dengan golongan ini kerana memahami dunia ceria mereka,” katanya.

Menurut Aznil, melayani kerenah kanak-kanak mudah jika memahami ‘mood’ mereka.

“Meski agak berusia dan matang untuk mengemudi program kanak-kanak, tiada masalah kerana saya memang suka kanak-kanak.

“Apatah lagi, kanak-kanak masa kini yang tahap pemikiran mereka jauh ke depan dan ia satu cabaran. Bagi saya segala-galanya akan mudah jika bijak mengawal situasi,” katanya.

Ditanya tidakkah pengacara muda lebih berminat mengacarakan program kanak-kanak, Aznil berkata mungkin ada tetapi bakat itu harus digilap.

Justeru, program #Tom Tom Bak yang terbaru ini menampilkan bakat peserta berusia tiga hingga 16 tahun untuk tiga segmen iaitu Ada Bakat, Jom Borak dan Ada Berani yang mencabar kanak-kanak membuat persembahan.

Sehubungan itu, lebih 1,000 penyertaan kanak-kanak diterima dari seluruh negara yang berminat menyertai uji bakat #Tom Tom Bak diadakan Julai lalu.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 5:10am
d