rap

Tawaran berlakon tak pernah putus

Oleh Ramlah Zainal

NAMA Raja Atiq mula dikenali menerusi watak Mirul dalam drama bersiri popular Nur dan Nur 2 yang bersiaran di Slot Samarinda TV3.

Ternyata, lakonannya sebagai adik kepada watak lakonan Syafiq Kyle dalam drama bersiri arahan Shahrulezad Mohameddin itu mencuri perhatian penonton.

Malah, nama Atiq turut berada dalam kelompok finalis Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke- 32 bersaing dengan Adam Lee, Afieq Shazwan, Iswan Ismail dan Ryan Deedat.

Pemilik nama sebenar Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 19, ini bersyukur dengan pencapaiannya dalam bidang seni ketika ini.

“Alhamdulillah, bakat saya mula mendapat perhatian ramai dan tawaran berlakon juga tidak pernah putus.

“Maklumlah, saya bermula dari bawah dan pernah menjual sotong goreng depan rumah sebelum nama dikenali peminat,” katanya.

Walaupun tidak menang, kata Atiq, dia akur kerana kemenangan dalam kategori itu berpihak kepada rakan seperjuangan iaitu Adam Lee.

“Berada dalam kelompok finalis artis baharu popular pun sudah cukup bermakna.

“Terus terang, pencalonan dalam anugerah berprestij seperti ABPBH menyuntik semangat untuk saya terus memberikan yang terbaik dalam lakonan pada masa depan,” katanya.

Pertahankan prinsip

Mengulas babak bersentuhan pula kata Atiq, dia tetap mempertahankan prinsipnya untuk tidak bersentuhan dengan wanita walaupun sudah mengecapi populariti.

“Mungkin ada segelintir pihak yang akan memandang serong dengan prinsip saya kerana diri ini masih hijau dalam bidang seni.

“Namun, saya tetap mempertahankan prinsip ini walaupun ia mungkin boleh menjejaskan tawaran berlakon selepas ini.

“Saya percaya rezeki datangnya daripada Allah SWT. Kalau bukan dalam bidang seni, mungkin rezeki itu datang dalam bentuk lain. Apa yang penting, saya sanggup bekerja keras mencari rezeki halal,” katanya.

Bekas pelajar sekolah tahfiz ini mengakui dia perlu menjaga nama baiknya dan keluarga supaya tidak terpalit dengan mana-mana kontroversi dalam bidang hiburan tanah air.

“Kalau boleh, saya dak mahu dikaitkan dengan sebarang kontroversi dalam bidang hiburan kerana tidak mahu menjejaskan nama baik diri dan keluarga.

“Maklumlah, saya sudah berjanji dengan kedua-dua ibu bapa untuk tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan mereka sebelum melangkah dalam bidang seni,” katanya.

Mahu dikenali sebagai Atiq Azman

Pelakon muda berbakat besar ini juga memberitahu dia kini mahu dikenali sebagai Atiq Azman dan bukannya Raja Atiq.

Menurutnya, dia terpaksa menukar namanya itu kerana mahu mengelakkan kekeliruan dengan pelakon yang popular dengan drama Sayangku Kapten Mukhriz iaitu Raja Afiq.

“Ketika mula berlakon dulu dan nama belum dikenali, ramai orang yang keliru nama saya dengan pelakon Raja Afiq.

“Bukan sahaja ada orang yang salah letak nama, ada juga yang keliru dan memanggil saya sebagai Raja Afiq pula

“Saya juga kenal dengan Raja Afiq kerana pernah berlakon sama dengannya dalam drama sebelum ini. Malah, ada yang cakap kami adik-beradik,” katanya.

Kata Atiq, dia juga memutuskan untuk menukar namanya itu selepas berbincang dengan pengurusnya.

“Saya menukar nama kepada Atiq Azman pada tahun lalu. Ketika berlakon dalam drama Nur pada Januari tahun lalu, saya belum tukar nama. “Saya juga berasa tidak selesa apabila perkara itu berlaku dan menukar nama Atiq Azman dalam drama Nur 2,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Atiq kini terbabit dengan penggambaran drama Cinta Itu Ferry Tale arahan Tam Suhaimi bergandingan dengan pelakon Eyka Farhana.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 6:00am
d