rap

Isteri Alif hamil anak kedua

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI dan komposer Alif berkongsi khabar gembira apabila isteri tercinta, Azzah Fariha kini hamil anak kedua.

Alif berkata, usia kehamilan yang memasuki lima bulan itu adalah hadiah terindah dan rezeki daripada Allah SWT.

"Alhamdulillah, isteri saya sedang hamil anak kedua. Usia kandungan kini sudah mencecah hampir lima bulan.

“Saya berharap supaya proses kehamilan dipermudahkan dan doakan yang baik-baik," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pengembangan label terbaru Def Jam Recordings Malaysia dan Singapura, gabungan Kartel Records dengan Universal Music Sdn Bhd.

Def Jam kedua-dua negara itu kini mempunyai barisan bakat seperti Alif, Joe Flizzow, SonaOne, AbubakarXLI, Caprice, Badboii, Fariz Jabba dan Yung Raja.

Menurut Alif, dia bersyukur kerana dipertemukan dengan isteri dan ahli keluarga yang saling menyokong serta memahami kerjaya muziknya meskipun terpaksa tinggal berjauhan.

"Sekiranya mereka tidak mengizinkan atau minta saya balik ke Singapura, saya sanggup bersama mereka. Tetapi saya bersyukur kerana mereka memberi kebenaran untuk menolong membantu industri.

"Mereka antara penyebab saya mampu melakukan yang terbaik untuk industri muzik sehingga ke hari ini.

"Pernah hampir sebulan saya terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak, tapi mereka okey dan sangat memahami minat mendalam saya ini," katanya.

Terdahulu, Alif dan Azzah mendirikan rumah tangga pada 13 September 2014. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Alana Alif.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 8:24pm
d