rap

Orang lama, band baru

Oleh Riadz Radzi

DITUBUHKAN pada akhir Mac, mengeluarkan EP mengandungi empat lagu pada Jun dan album sulung mereka siap dirakam akhir Ogos lalu yang akan dipasarkan 13 Oktober ini.

Demikian ‘lajunya’ perjalanan band genre midwest emo, Playburst ini. Walaupun belum setahun ditubuhkan, Playburst dianggotai orang lama dalam arena indie atau underground tempatan. Band ‘side project’ dianggotai Aidil (penyanyi), Ridzuan (gitar), Afiq (bass) dan Tiong (dram) ini adalah gabungan daripada band seperti Couple (Aidil), The Fridays (Ridzuan), Crack Guilty (Afiq), Tools Of The Trade serta Code Error (Tiong).

Aidil berkata, Playburst pada awalnya adalah band ‘suka-suka’. Ia bermula dengan Tiong dan Ridzuan yang ‘jamming’ bersama untuk mengisi masa lapang. Mereka kemudian disertai Afiq tetapi tanpa penyanyi.

“Waktu itulah saya ternampak video mereka ‘jamming’. Kebetulan memang dah kenal mereka sebelum ini. Jadi, saya bertanya sama ada band ni nak pakai penyanyi atau instrumental saja?

“Akhirnya saya bersama mereka. Kami ‘jamming’ dan cuba sesuaikan vokal saya dengan mereka. Kami mula hasilkan lagu dan akhirnya terus buat keputusan keluarkan EP dan album,” kata Aidil.

EP Playburst mula dikeluarkan pada Jun lalu mengandungi empat lagu iaitu Waste Of Time, What’s Wrong With Love, Be Strong dan Big Mouth. Mereka juga sudah selesai merakamkan album sulung berjudul Positive Jams mengandungi 10 lagu yang bakal dipasarkan pada 13 Oktober ini.

Dua single terbaharu iaitu We’ll Be Fine dan Into My Arms juga sudah boleh ‘dilayan’ di saluran YouTube Playburst.

Walaupun mempertaruhkan genre midwest emo dan mathrock dengan pengaruh daripada band seperti Sonic Youth, Guided By Voices, American Football, Faraquet, Saves The Day dan Drive Like Jehu, mereka sebenarnya menghasilkan muzik Playburst sendiri.

Gaya vokal Aidil yang lebih ke arah powerpop dengan Tiong yang banyak dipengaruhi muzik grindcore dalam Tools Of The Trade membuatkan gubahan muzik Playburst lebih menarik. Begitu juga dengan teknik permainan dan ‘sound’ gitar yang lebih berteknikal.

“Pada awalnya kami nak buat muzik midwest emo, tapi masing-masing cuba nak menjadi lebih teknikal dah akhirnya jadi seperti ini. Apabila dicampur dengan pengaruh muzik masing-masing, taklah

jadi macam midwest emo sangat. Mungkin sesuai dipanggil muzik Playburst,” kata Aidil.

Menurut Tiong, mereka cuba hasilkan muzik yang boleh menarik minat orang untuk mendengar dan dalam masa sama, mereka mencabar diri menguji kemahiran individu dalam permainan alat muzik masing-masing.

“Bukan dram, gitar dan bass saja, tapi juga vokal. Contohnya sebagai penyanyi Couple, Aidil dengan genre powerpop yang mungkin lebih santai, tapi dengan Playburst cabaran untuknya lebih sikit,” katanya.

“Tugas saya adalah ‘popkan’ Playburst menerusi vokal. Ketika proses menulis lagu, mereka mainkan bermacam-macam kord, jadi kemungkinan untuk letakkan pelbagai melodi itu tetap ada membuatkan penerokaan muzik itu jadi seronok. Muzik Playburst lebih berat, laju dan lebih teknikal. Cara permainan gitar juga banyak ‘tapping’ seperti muzik mathrock,” kata Aidil pula.

Walaupun baru berusia tujuh bulan, Playburst berpeluang tampil sebagai ‘opening band’ dalam persembahan band mathrock popular Amerika Syarikat, Chon di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Playburst juga bakal mengadakan persembahan di Embrace Hall, Johor Bahru, Sabtu ini dan Lithe House, Singapura keesokannya.

Selain itu, mereka juga akan tampil bersama band emo dari China, Chinese Football di Live Fact, Kota Damansara pada 27 Oktober ini, band pembuka untuk konsert The Cavemen di Rumah Api, Ampang pada 16 November depan dan Urbanscapes di The Go Down KL, Ampang pada 17 November.

Maklumat lanjut mengenai band ini, sila layari Instagram @playburstmy, Facebook Playburst dan Twitter Playburst.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 5:15am
d