rap

Kenali tarian klasik balet

Oleh Georgie Joseph

DEMI memberikan lebih pendedahan terhadap tarian klasik balet di Malaysia, Festival Seni Balet Antarabangsa bakal dianjurkan sebagai acara penting untuk Tahun Melawat Malaysia ‘Truly Asia Malaysia 2020’.

Dianjurkan The Dance Company (TDC), festival itu turut mendapat sokongan organisasi besar dari Russia iaitu Theatre St Petersburg Russian Ballet. Organisasi berkenaan bersetuju mengadakan tiga persembahan mega di Malaysia.

Bakal berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober ini, pementasan The Sleeping Beauty berkenaan nyata mendapat sambutan luar biasa. Bahkan, tarikh pementasan ditambah sehari berikutan penjualan tiketnya sangat laku.

Menurut Pengarah Urusan TDC, Audrey Kwan, semestinya berita itu sangat menggembirakan apalagi tarian balet memiliki pengikutnya sendiri.

“Tujuan kami membawakan pementasan ini tidak lain untuk memberikan pendedahan mengenai tarian balet kepada masyarakat di Malaysia. Memandangkan tarian ini sangat popular di seluruh dunia, ini peluang untuk orang kita mengenalinya lebih dekat.

“Pelbagai aktiviti juga dirancang untuk dilangsungkan selain pementasan ini sendiri. Ia termasuk mengadakan bengkel tarian balet selain pencarian penari berbakat untuk tarian itu dari Malaysia,” katanya.

Audrey juga teruja dengan sambutan diberikan dan berharap peluang untuk menyaksikan pementasan berkenaan tidak dilepaskan penonton di sini.

“Untuk dua pementasan terdahulu, tiketnya habis terjual dan kami memutuskan menambah tarikh pementasan. Memandangkan pementasan ini sangat terkenal di seluruh dunia, pastinya ramai tidak mahu terlepas peluang ini,” katanya.

Menariknya, pembeli tiket untuk pementasan berkenaan berpeluang memenangi hadiah berupa percutian lima hari empat malam ke St Petersburg, Russia yang ditaja sepenuhnya. Hadiah itu termasuk tiket penerbangan, hotel dan tiket menonton teater balet di sana.

Untuk masuk peraduan berkenaan, mereka hanya perlu membeli tiket The Sleeping Beauty bagi peluang memenangi hadiah utama berkenaan.

Pementasan terbabit bakal dilangsungkan dengan ritma tradisi klasik Russia menerusi persembahan koreografi asal naskhah itu. Produksi berkenaan yang sangat berpengalaman mengadakan lebih 250 pertunjukan setiap tahun.

Pertunjukan itu merangkumi lebih 130 kota termasuk di Amerika Syarikat, Belanda, Belgium, China, Finland, Jerman dan Kanada. Persembahan mereka ditonton lebih sejuta penonton setiap tahun.

Bukan setakat penganjuran festival itu, TDC bersama Theatre St Petersburg Ballet juga turut membuka peluang kepada Malaysia menerusi jemputan eksklusif menyertai Russian Seasons.

Russian Seasons adalah festival persidangan dialog antarabangsa mengenai pertukaran budaya.

Menerusi acara itu juga, kemegahan, keaslian dan kemewahan budaya Russia bakal dipersembahkan kepada orang ramai di beberapa negara sepanjang tahun.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 3:33pm
d