rap

Kaka gementar nak bersalin

Oleh Ramlah Zainal

PENYANYI Kaka Azraff mengakui berasa gementar menanti detik kelahiran cahaya mata sulungnya yang bakal dilahirkan pada tanggal 9 Oktober ini.

Menurut pemilik nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, 30, dia berdoa semoga dapat bersalin secara normal dan proses kelahiran anak sulungnya di pusat perubatan swasta akan dipermudahkan nanti.

“Alhamdulillah, pelbagai perasaan bersarang dalam diri. Bukan saja berdebar, takut dan pada masa sama teruja menanti kelahiran anak yang dinantikan ini.

“Pengalaman sepanjang proses kehamilan termasuk penambahan berat badan sebanyak 15 kilogram dan alahan ketika mengandung memang sangat berharga sebagai wanita yang bakal bergelar ibu.

“Setakat ini, keadaan saya dan bayi dalam kandungan juga sihat,” katanya kepada Harian Metro.

Kaka ditemui pada majlis pelancaran video muzik single terbarunya, Diamonds di Shah Alam, petang semalam.

Ditanya mengenai nama anak pula, kata Kaka, dia juga menyerahkan kepada suami bagi memilih nama yang sesuai untuk bayi lelaki mereka itu.

“Suami sudah memilih nama yang sesuai tetapi kami akan umumkan bila bayi selamat dilahirkan nanti.

“Nama yang dipilih juga tidak terlalu moden atau klasik dan pendek saja seperti nama suami Adam,” katanya.

Mengulas kenapa dia memilih melancarkan muzik video dalam keadaan sarat mengandung, kata Kaka, dia akan berehat panjang selepas melahirkan anak nanti.

“Sebenarnya, saya memang sudah berasa mengah untuk menyanyi di pentas tetapi tetap mahu segera melancarkan single ini buat peminat.

“Insya-Allah, saya akan menjalani proses berpantang menggunakan khidmat pakar nanti,” katanya.

Terdahulu, Kaka dan Adam Azriff mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 selepas majlis merisik diadakan pada 27 November tahun sama.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 6:44pm
d