rap

'Belajar daripada kesilapan'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON dan model Haneesya Hanee, 19, mengharapkan semua pihak termasuk netizen yang sebelum ini sering mencemuhsupaya tidak berterusan menghukumnya.

Dia menasihati mereka supaya memandang ke hadapan agar dia boleh meneruskan hidup dan mencapai apa yang diinginkan.

Berikutan kemenangan sebagai Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH 32) baru-baru ini, Haneesya berkata ia rahmat selepas apa yang dilaluinya sebelum ini.

“Saya akui banyak rahmat dan kebaikan selepas kemenangan sebagai juara Dewi Remaja ditarik balik.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan lalu, kesan dan akibatnya malah ia menjadi penyumbang terbesar untuk menjadi insan lebih baik,” katanya.

Kata Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahalan, dia menyifatkan kemenangannya dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular itu sebagai rezeki yang akan menjadi pemangkin semangatnya.

“Saya juga sering menerima kecaman, tidak kira apa yang dilakukan walaupun ia membabitkan perkara baik.

“Netizen seperti tidak boleh menerima hakikat yang saya mahu berubah dan menjadi lebih baik dan serius membina kerjaya sebagai anak seni mahupun model. Apa yang berlaku itu dulu dan sekarang ini saya tidak mahu terus terikat dengan kisah lalu.

“Saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang. Anugerah ini memberikan saya semangat untuk kembali bangkit dan mengejar cita-cita,” katanya.

Kata Haneesya, dia menangis dan terharu dengan kemenangan diperoleh kerana tidak menyangka masih ada pihak yang menyokong sehingga membolehkan dia memenangi anugerah terbabit.

“Terima kasih kepada peminat yang masih percayakan saya. Kemenangan ini saya dedikasikan buat ibu tersayang yang banyak berkorban.

Walaupun berdepan pelbagai dugaan ibu sentiasa ada di sisi dan mempertahankan saya. Ibu juga sumber kekuatan untuk saya terus bangkit dan kembali berjuang,” katanya.

Heneesya menewaskan empat lagi calon lain yang turut tersenarai dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular iaitu Aina Abdul, Sarah Suhairi, Masya Masyitah dan Amelia Henderson.

Berkongsi mengenai perancangannya selepas memenangi anugerah terbabit, Haneesya yang pernah menghidap disleksia, skoliosis dan talasemia berkata mahu kembali aktif berlakon.

“Saya cintakan dunia lakonan dan diharapkan dengan kemenangan ini pintu untuk kembali aktif akan terbuka,” katanya.

Haneesya memulakan kerjaya lakonan dengan membintangi teater Siti di Alam Fantasi pada 2009. Seterusnya muncul dalam teater adaptasi komik karya Lat, Kampung Boy, Sebuah Muzikal yang berlangsung di Istana Budaya pada Mac 2011 apabila berlakon bersama Awie, Jalil Hamid, Rahim Razali dan Douglas Lim.

Bagaimanapun, namanya dikenali apabila membintangi drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek bersama Farah Nabilah dan Fikry Ibrahim.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 5:00am
d