rap

Anak Abby Abadi tunjuk perkembangan positif

Oleh Ardini Sophia Sina

SUAMI kepada pelakon Abby Abadi iaitu Faizal Zakaria, meluahkan rasa syukur atas perkembangan positif kesihatan anak lelaki mereka, Muhammad Danial Firman Faizal yang sebelum ini mengalami pendarahan dalam paru-paru.

Faizal menerusi kemas kini Instagram semalam berkata, dia tidak pernah jemu mendoakan anak mereka yang diberi gelaran Baby Danial itu terus sihat dan dipanjangkan umur.

"Pagi tadi (Khamis), Abah dan Mama ke NICU (Unit Rawatan Rapi Neonatal) hantar susu. Sempat berbual dengan doktor. Baby Danial ada peningkatan positif.

"Pendarahan paru-paru pun sudah tiada. Syukur sangat. Allah maha mendengar semua doa mereka yang sayangkan Baby Danial," tulisnya.

Faizal turut memberitahu Abby sudah dibenarkan pulang ke rumah Rabu lalu namun berulang-alik ke Hospital Sungai Buloh melawat dan menghantar susu buat anak mereka.

"Abah dan Mama akan sentiasa jenguk sayang. Moga Baby terus sihat dan kuat. Ramai yang tidak sabar mahu berjumpa dengan Baby," tulisnya.

Abby selamat melahirkan anaknya pada 27 September lalu pada ketika usia kandungan enam bulan.

Rabu lalu, Harian Metro melaporkan Danial dalam keadaan kritikal selepas doktor memaklumkan bayi itu mengalami pendarahan dalam paru-paru.

Terdahulu, Abby pernah berkongsi berita kehamilannya dengan menunjukkan foto imbasan kandungannya pada 15 Jun lalu. Ini adalah kehamilan kedua buat pasangan itu selepas Abby mengalami keguguran pada 2017.

Pasangan itu berkahwin pada 14 Ogos 2015 serta mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Berita berkaitan

Anak Abby kritikal di hospital

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 6:11pm
d