rap

Balas jasa Pengasih

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SEJAUH mana pun melangkah, penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah, 60, tetap tidak melupakan jasa rumah Pengasih di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Tidak hairanlah, beliau sanggup membantu program Malam Amal Pengasih yang akan berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 17 November ini.

Jamal dan Man Bai akan berganding tenaga menghiburkan peminat dalam program yang bertujuan mengumpul dana untuk menyiapkan fasiliti Rawatan & Pemulihan Dadah Pengasih di Cinta Manis, Bentong, Pahang.

“Lima tahun di situ, Pengasih banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar.

“Biarpun dah tak tinggal di situ, saya tetap akan bantu apa yang patut untuk Pengasih.

“Tak mungkin saya dapat lupa jasa mereka. Saya berbesar hati terbabit dalam majlis makan malam Pengasih bagi membalas jasa mereka,” katanya.

Menurut Jamal, persembahannya akan berlangsung selama 40 minit apabila dia akan menyampaikan rangkaian lagu popularnya.

“Saya akan berikan persembahan terbaik buat pembeli tiket malam amal ini.

“Diharapkan dengan apa yang dilakukan ini, sedikit sebanyak saya dapat ‘memberi’ semula kepada Pengasih.

“Ia penting kerana Pengasih akan berpindah ke Bentong dan amat memerlukan dana yang besar bagi membiayai pembinaan fasiliti di situ,” katanya.

Jamal berkata, ini bukanlah kali pertama dia berbuat demikian bagi membantu Pengasih.

“Saya pernah beberapa kali terbabit dengan program mereka sebelum ini.

“Jika ada dalam kalangan artis yang pernah menerima rawatan di Pengasih tapi lupa jasa mereka, dia tidak ada roh, dia tidak ada rasa.

“Pengasih adalah sebahagian perjalanan hidup saya dan ada hikmah di sebalik apa yang terjadi,” katanya.

Menurutnya, hikmah yang dimaksudkan ialah dia kembali diterima masyarakat dan anak.

“Anak saya, Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13, tidak malu mengakui saya adalah ayah mereka.

“Itu paling penting bagi saya, anak tidak malu dengan kesilapan ayahnya sebelum ini,” katanya.

Berbicara berkenaan anak, Jamal yang bakal menyambut kelahiran seorang puteri pada November ini dan akan dinamakan Azura Yamani, mahu mereka mengutamakan akademik sebelum bebas memilih bidang diminati apabila kejayaan berada dalam genggaman.

Sementara itu, tiket untuk menyaksikan Malam Amal Pengasih bermula daripada RM300 hingga RM2,000 mula dijual kepada peminat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku penaung Malam Amal Pengasih, akan hadir merasmikan program
itu.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 5:01am
d