rap

'Komen biarlah beradab'

Oleh Najiy Jefri

SETIAP individu terutama golongan dikenali ramai tidak pernah terlepas daripada menerima kecaman apabila ada perkara yang kurang selesa atau tak diminati sesetengah warganet.

Kecaman dengan dunia hiburan seperti tidak dapat dipisahkan. Ada yang mengatakan itulah harga perlu dibayar apabila bergelar selebriti.

Namun sebagai selebriti mereka perlu bijak berdepan kecaman kerana melaluinya mereka dapat memperbaiki diri namun jika dilayan kecaman itu ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

Minggu ini Cuit Sikit menemu bual dua selebriti popular mengenai pendapat mereka terhadap kecaman yang diterima selebriti tempatan di media sosial.

ZIZAN RAZAK

“Setiap kecaman saya menerimanya dengan hati terbuka. Ini kerana andai ada teguran yang betul saya akan cuba ubah, kalau teguran itu tiada kena-mengena dengan hal hidup, saya tidak akan melayannya. Itu lebih baik. Saya selalu melihat setiap yang berlaku dari sudut positif.

Saya berdiri hari ini sebagai selebriti adalah kerana Allah memilih dan percaya mampu berdepan dengan golongan ini (warganet) kerana Allah tahu hamba-Nya itu mampu bersabar dan menanggung ujian yang berlaku.

Kecaman paling teruk pernah diterima ketika membuat persembahan secara langsung. Apabila ada perkataan tidak sepatutnya diucapkan atau kelakuan dilakukan tidak disukai, saya akan menerima teguran atau komen negatif tetapi ambil ia sebagai pengajaran.

Jika difikirkan kembali warganet ini ada baiknya kerana mereka ini akan menjadi guru dan pemerhati kepada selebriti jika kita ambil komen dilemparkan itu dari sudut positif.”

SITI NORDIANA

“Jujur saya jarang membaca komen negatif kerana ada kata-kata yang dilemparkan disifatkan terlalu melampau dan menyakitkan hati. Tapi selalunya apabila sudah terbaca saya akan ambil masa untuk bertenang dan membaca komen positif pula. Saya sedar tidak semua orang sukakan kita dan anggap setiap kecaman itu dengan niat untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Lagipun, tidak berbaloi untuk saya membalas atau tangkap layar dengan memuat naik semula kecaman yang diberikan kerana ia tidak akan memberi penyelesaian bahkan mengeruhkan keadaan.

Bagaimanapun, saya nak pesan kepada pengguna laman sosial biarlah komen itu penuh dengan adab dan berhemah. Janganlah sampai komen yang ditinggalkan itu akan mengaibkan atau menjatuhkan air muka seseorang kerana ia dapat dibaca oleh semua pengikut.

Jika benar niat ikhlas mahu menegur apa salah sekiranya menghantar mesej peribadi kepada selebriti itu. Kecaman paling teruk pernah saya terima adalah ketika mengendalikan program Gema Gegar Vaganza pada konsert minggu pertama. Ketika itu bertalu-talu kecaman diberikan warganet.

Walaupun sudah dipesan supaya jangan sesekali membaca, keinginan untuk melihat itu tidak boleh lari dan saya lihat mereka menghentam tanpa memikirkan kepayahan serta air muka. Namun saya anggap setiap kecaman itu sebagai penguat untuk lebih maju dalam hidup.”

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 5:10am
d