rap

Selebriti wakili suara rakyat

Oleh Susunan Ramlah Zainal

DUA penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti dan Mulan Jameela antara 14 artis yang dilantik sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi penggal 2019-2024.

Mereka termasuk dalam 575 anggota DPR yang mengangkat sumpah di Kompleks Parlimen, Senayan, Jakarta di hadapan Ketua Mahkamah Agung, Prof Dr HM Hatta Ali di bangunan Parlimen Indonesia tanggal 1 Oktober lalu.

Menurut laporan detik.com, senarai artis yang turut mengangkat sumpah ialah pelakon Desy Ratnasari, Rano Karno, Eko Hendro Purnom, Dede Yusuf Macan Effendi, Tommy Kurniawan, Primus Yustisio, Rieke Diah Pitaloka, Arzeti Bilbina, Nurul Arifin, Farhan, Rachel Maryam Sayidina dan Nico Siahaan.

Bagaimanapun, pelantikan dua muka baharu iaitu Krisdayanti dan Mulan menjadi bualan hangat warganet yang turut meragui pemilihan mereka sebagai wakil rakyat.

RAPXTRA minggu ini menampilkan 10 selebriti terkenal Indonesia yang dilantik menjadi wakil rakyat di negara itu sekali gus anggota DPR bagi penggal 2019-2024.

1. KRISDAYANTI

Penyanyi popular Indonesia Krisdayanti, 44, adalah muka baharu dilantik sebagai anggota DPR selepas memenangi pilihan raya Indonesia yang berlangsung pada 17 April lalu.

Krisdayanti atau lebih mesra disapa KD bertanding sebagai calon Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) berjaya mewakili anggota DPR Jawa Timur V dengan memperolehi undian sebanyak 132,131.

Isteri pengusaha Raul Lemos ini juga pernah bertanding mewakili Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) pada pilihan raya 2014.

Penyanyi lagu Menghitung Hari Ini mencuri perhatian ramai kerana tampil cantik dan anggun bersanggul Jawa serta mengenakan kebaya merah menyala rekaan pereka terkenal, Anne Avantie pada majlis pelantikannya itu.

Dalam kenyataannya, KD juga meminta orang ramai tidak berpandangan golongan artis memberi imej buruk pada Parlimen.

Menurutnya, dia juga meletakkan dirinya sebagai wakil rakyat yang mewakili wanita dengan memperjuangkan hak mereka.

Pada masa sama, dia juga berjanji memperjuangkan pengesahan Rancangan Undang-Undang (RUU) mengenai penghapusan kekerasan seksual (PKS).

Pada 100 hari pertama, Krisdayanti menegaskan dia akan menyerap aspirasi di Jatim V yang meliputi Malang Raya (Kota Malang, Kota Batu dan Kabupaten Malang).

Sayangnya, banyak warganet kurang menyokong pemilihan KD kerana imejnya yang kurang baik dan pernah terpalit isu negatif sebelum bercerai dengan Anang Hermansyah.

2. MULAN JAMEELA

Penyanyi lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi, yang berusia 40 tahun ini juga muka baharu yang dilantik menjadi wakil rakyat selepas memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lalu.

Pemilik nama sebenar Raden Terry Tantri Wulansari ini dilantik sebagai anggota DPR mewakili Jawa Barat XI dengan mendapat undian suara sebanyak 13,793. Ia juga langkah pertama Mulan untuk terjun dalam dunia politik Indonesia.

Namun, pemilihan isteri penyanyi kumpulan terkenal Dewa 19, Ahmad Dhani yang mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya ini juga cukup kontroversi.

Mulan berjaya mendapatkan kerusi DPR selepas menggantikan dua calon dalam parti Gerindra iaitu Ervin Luthfi dan Fahrul Rozi.

Malah, pemilihannya juga dipersoalkan warganet yang menganggap dia hanya sekadar penghias dalam DPR.

3. TOMMY KURNIAWAN

Muka baharu yang turut mewarnai DPR bagi penggal 2019-2024 ialah pelakon iklan dan sinetron.

Tommy yang mewakili Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) ini mewakili Jawa Barat V dengan mendapat undian suara sebanyak 33,988.

4. FARHAN

Seorang lagi selebriti yang juga muka baharu dilantik menjadi anggota DPR bagi penggal 2019-2024 bertanding menerusi Parti Nasdem dan berjaya mewakili Jawa Barat I selepas mendapat undian sebanyak 52,033.

Berbeza dengan Krisdayanti yang mendapat tanggapan negatif daripada media sosial, respons warganet terhadap pelantikan Farhan sebagai anggota DPR tidak banyak.

Dalam beberapa temu bual dengan media, Farhan juga memberitahu dia turut mengeluarkan banyak wang, tenaga dan waktu untuk terpilih menjadi anggota DPR.

Namun pada sisi lain, anak kelahiran 25 Februari 1970 ini berjanji menjadi anggota DPR yang jujur hingga segelintir warganet meragukan pemilihannya itu.

5. DESY RATNASARI

Penyanyi lagu Si Tenda Biru berusia 45 tahun ini mula menceburi dunia politik dan menjadi wakil rakyat selepas menjadi anggota DPR pada penggal 2014-2019.

Pada pilihan raya 2019, artis kelahiran Sukabumi ini kembali terpilih mewakili Parti Amanat sional (PAN) dari Jawa Barat IV yang meliputi Sukabumi dengan mendapat undian suara sebanyak 86,450.

Walaupun berhijab, penampilan Desy yang moden pada hari pelantikannya sebagai anggota DPR tetap mencuri perhatian ramai dengan turban ungu dan kebaya biru serta selendang motif batik coklat.

Warganet juga mengucapkan tahniah kepadanya kerana kembali dilantik menjadi anggota DPR penggal baharu ini.

6. EKO PATRIO

Nama pelakon komedi terkenal dan ahli politik ini turut mencuri perhatian ramai kerana kembali dilantik menjadi anggota DPR bagi penggal 2019-2024.

Eko terjun dalam dunia politik selepas terpilih menjadi anggota DPR bagi penggal 2009 -2014.

Sejak berhijrah dalam bidang politik, pemilik nama sebenar, Eko Hendro Purnomo ini sering terbabit dalam dunia belakang tabir selepas menubuhkan rumah produksi Ekomando yang menerbitkan program televisyen dan pengurusan artis.

Eko juga artis yang berbakat besar dalam industri hiburan Indonesia. Karier seninya mula melonjak sejak bergabung dengan kumpulan lawak Patrio pada 1994.

7. RANO KARNO

Pelakon yang menempa nama menerusi watak Doel dalam Si Doel Anak Sekolahan ini berjaya menjadi anggota DPR selepas pilihan raya 2019 mewakili daerah pemilihan Banten III dengan mengutip 274,294 suara.

Menerusi undian terbabit, bekas Gabenor Banten ini berjaya menjadi calon di Parlimen dengan suara terbanyak di Banten PDI-P.

Menurut Rano, dia berharap bakal ditempatkan di bahagian yang melitupi bidang pendidikan, kebudayaan olahraga dan sejarah.

8. NURUL ARIFFIN

Pelakon sinetron dan filem ini pula bukan nama asing dalam dunia politik Indonesia kerana sudah tiga kali dilantik sebagai anggota DPR.

Nurul mula dilantik menjadi anggota DPR RI sejak penggal 2004-2009, 2009-2014 dan kembali terpilih pada penggal 2019-2024 dengan mendapat 35,713 suara di Daerah Pemilihan Jawa Barat 1.

Nurul yang mewakili Parti Golkar juga hanya tampil sederhana dengan mengenakan kebaya berwarna kuning, sesuai dengan warna partinya pada majlis pelantikannya itu.

Sebagai wakil rakyat, Nurul juga prihatin dengan situasi Jakarta dan daerah lain di Indonesia yang marak dengan demonstrasi sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

Pada penggal baru ini, Nurul juga kembali dengan motivasi gagasan untuk kesejahteraan Indonesia yang lebih baik pada masa depan.

Mengimbas latarnya, Nurul menceburi dunia perfileman sejak 1984 menerusi filem ‘IQ 200’ dan Hati Yang Perawan. Selain filem, dia juga aktif berlakon sinetron dan iklan komersial sebelum terjun dalam dunia politik.

9. DEDE YUSUF

Pelakon ini memilih untuk terjun dalam dunia politik selepas berjaya sebagai anggota DPR RI penggal 2004-2009 mewakili Parti Amanat Nasional (PAN).

Dede dilantik sebagai wakil Gabenor Jawa Barat pada 2008-2013. Selepas tidak lagi memegang jawatan itu, Dede kembali terpilih menjadi anggota DPR RI penggal 2014-2019.

Bezanya, kali ini, dia beralih dari Parti Demokrat mewakili Daerah Pemilihan Jawa Barat II. Ia juga kali ketiga, Dede terpilih menjadi anggota DPR dengan meraih undian 165,182.

Pada permulaan kariernya, Dede kerap berlakon dalam filem bersama Barry Prima, George Rudy dan Advent Bangun.

Selepas berlakon watak pembantu dalam filem Catatan Si Boy pada 1986, Dede tidak menoleh ke belakang dengan berlakon dalam pelbagai filem dan siri televisyen.

Antara siri TV yang turut menaikkan namanya ialah Jendela Rumah Kita untuk saluran TVRI.

10. ARZETI BILBINA

Bekas peragawati, model dan pelakon sinetron ini kembali terpilih buat kali kedua menjadi anggota DPR bagi penggal 2019-2024.

Arzeti mendapat undian sebanyak 53,185 dari Daerah Pemilihan Jawa Timur I.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 5:15am
d