rap

Gelak Joker cetus seram sejuk

Oleh Syafil Syazwan Jefri

FILEM yang dinanti-nantikan, Joker akhirnya mendarat di Malaysia dan menemui peminat di pawagam seluruh negara bermula 3 Oktober lalu.

Secara ringkasnya, ia mengisahkan kehidupan Arthur Fleck sebelum bertukar menjadi Joker yang dikenali dengan identiti psiko dan kejam.

Perubahan itu disebabkan beberapa punca antaranya tekanan dan masalah mental yang dialaminya.

Dari segi jalan cerita, Joker digarap dengan baik oleh pengarahnya, Todd Phillips sekali gus menjadikan ia kuat.

Namun, yang menjadi sedikit kekurangan adalah pergerakan antara satu babak ke satu babak yang perlahan dan meleret.

Jika berbicara mengenai lakonan Joaquin Pheonix sebagai Arthur Fleck dan Joker, lakonannya penuh jiwa.

Gerak-geri, percakapan bahkan ekspresi wajahnya benar-benar membuat penonton berasakan kewujudan karakter itu. Ia nampak realistik.

Arthur Fleck atau Joker menghidap penyakit ‘pathological laughter’ yang mana tidak mampu untuk mengawal ketawa.

Jadi, dalam pada dia ketawa, penonton dapat rasakan kesakitan yang sebenarnya dirasakan oleh karakter itu.

Sinematografi filem ini juga patut diberi pujian kerana tetap menyelitkan beberapa elemen komikal untuk disesuaikan dengan asal usul karakter Joker.

Apa yang pasti, Joker menjadi penanda aras untuk karakter adaptasi daripada komik yang diangkat ke filem.

• FILEM: Joker

• ARAHAN: Todd Phillips

• PELAKON: Joaquin Phoenix, Robert De Niro, Zazie Beetz, Bill Camp dan Frances Conroy

• GENRE: Drama & aksi jenayah

• TAYANGAN: 3 Oktober 2019

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 6:01am
d