rap

'Bayaran bukan isunya' - Noraniza Idris

Oleh Syafil Syazwan Jefri

RATU Etnik Kreatif Noraniza Idris, menganggap isu bayaran yang disebut sebagai salah satu sebab kenapa dia tidak dijemput untuk turut serta menjayakan Konsert Karya Agung Pak Ngah bukan isu utama.

Menurutnya, cara jemputan yang diterima juga seperti 'ajak-ajak ayam'.

"Isu bayaran itu sebenarnya bukanlah faktor utama. Saya mengenakan bayaran mengikut kesesuaian kerana saya bukanlah jenis yang berkira sangat lebih-lebih lagi, Allahyarham Pak Ngah antara yang banyak berbudi kepada saya.

"Namun, satu lagi isu ialah cara jemputan yang bagi saya seperti 'ajak-ajak ayam'. Walaupun acara itu untuk tribute atau apa pun, biarlah jemputannya secara sepatutnya. Saya pun bukanlah artis baru," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebelum ini kalau ada program TV yang mahukannya membuat kemunculan, ada wakil yang akan hadir dan berbincang.

"Kalau untuk muncul di program TV pun akan ada orang yang datang berbincang dengan saya. Itu akan nampak lebih bersungguh-sungguh," katanya.

Tambah Noraniza lagi, jadualnya padat sepanjang November sehingga Disember.

"Jadual saya pun menjadi kekangan juga kerana ada beberapa aktiviti khidmat masyarakat yang saya jalankan sepanjang November hingga Disember," katanya.

Namun begitu, Noraniza akan beraksi di Istana Budaya menjelang tahun depan.

"Walaupun tak dapat beraksi di Konsert Karya Agung Pak Ngah, Insya-Allah, akan ada satu persembahan saya di Istana Budaya menjelang tahun depan dan akan ada satu segmen khas tribute untuk allahyarham," katanya.

Konsert Karya Agung Pak Ngah akan berlangsung di Istana Budaya pada 14 dan 15 November, menampilkan barisan penyanyi hebat antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakry, Syamel, Asmidar dan Roger.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 2:50pm
d