rap

Filem Hasmah risik pengarah Habibie & Ainun

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENGARAH filem Habibie & Ainun, Faozan Rizal antara calon yang bakal mengarahkan filem Hasmah terbitan Tune Production Sdn Bhd.

Filem ini mengisahkan perjalanan hidup isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah dan kisah romantisnya bersama Tun Dr Mahathir Mohamed.

Filem yang bakal menjalani penggambaran Mac tahun depan itu turut menyenaraikan beberapa calon pengarah tempatan seperti Erma Fatima, Khabir Bhatia dan Osman Ali.

Penerbit, Hafiz Rozlan berkata, pemilihan dibuat berdasarkan kredibiliti empat calon pengarah itu dalam penghasilan filem mereka sebelum ini.

“Kenapa Faozan Rizal dalam senarai saya? Pertama, filem biopik rujukan saya ialah Habibie & Ainun. Dia pengarah filem itu. Jadi, saya tengok hasil kerjanya yang sangat bagus.

“Itu yang saya masukkan dalam senarai. Bagaimanapun, ini belum muktamad lagi sebab saya akan bentangkan kepada Tun terlebih dahulu.

“Lagi satu,saya buat filem ini bukan suka-suka atau main-main. Jadi, saya mahukan yang terbaik. Begitu juga dengan senarai pengarah tempatan, saya bertanya kepada beberapa penggiat industri. Ada yang mereka cadangkan dan ada yang saya pilih dan kaji sendiri,” katanya.

Hafiz berkata, penyenaraian nama Faozan tidak perlu dijadikan isu kerana ia hanya cadangan.

“Walaupun saya sudah berjumpa dengan Faozan, belum ada kata putus dibuat.

“Macam saya cakap tadi, keputusan daripada Tun. Insya-Allah, minggu ini kami akan berjumpa Tun,” katanya.

Mengenai pemilihan watak Tun Hasmah yang dilakonkan oleh Nad Zainal, Hafiz berkata itu adalah yang terbaik.

“Awalnya saya ada beberapa nama tetapi selepas membuat kajian dan melihat sendiri lakonan mereka, saya berasakan Nad calon paling layak.

“Sama macam pengarah, saya juga melihat dari segi latar belakang, pendidikan dan pencapaian sebagai kriteria utama melakonkan watak biopik itu,” katanya.

Menurut Hafiz, filem Hasmah dianggarkan menelan kos RM6 hingga RM7 juta.

Selain Nad, watak Tun M akan dijayakan oleh Hasnul Rahmat. Pelakon lain yang turut terbabit antaranya Zamarul Hisyam.

Terdahulu, pelancaran filem Hasmah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Eddin Syazlee Shith.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 4:12pm
d