rap

Pelawak muda jadi pilihan, Ebby Yus tak terasa hati

Oleh Norhayati Nordin

"WALAUPUN pelawak baru mendominasi industri hiburan dan semakin jadi perhatian, saya tidak pernah rasa terpinggir," kata pelakon dan pelawak Ebby Yus, 55.

Malah, Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid mengakui sedar era pelawak seangkatannya sudah berlalu.

"Saya tidak terasa hati. Alhamdulillah, diri ini masih dihormati.

"Mereka (pelawak baru) sangat prihatin, banyak membantu dan selalu bertanya khabar,” katanya.

Ebby berkata sebagai pelawak senior, dia faham tawaran persembahan selalunya datang daripada stesen TV dan produksi.

"Bukan berpunca daripada pelawak baru maka yang lama dipinggirkan. Itu semua bergantung kepada permintaan stesen TV dan produksi.

"Saya bersyukur apabila kesihatan semakin baik sudah mula ada tawaran menjayakan sitkom dan program TV.

“Terbaru saya muncul dalam sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut musim kelima (JKKK5) yang disiarkan di TV3 setiap Ahad.

"Selain itu, saya diundang sebagai pelawak jemputan program 'stand up' komedi terbitan Astro," katanya.

Menurut Ebby, buat masa ini dia hanya mampu menerima tawaran mengikut kemampuan kesihatannya.

Apapun, Ebby memberitahu baru-baru ini dia dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana demam dan batuk yang teruk akibat jerebu.

"Saya mendapatkan rawatan selama enam hari di IJN kerana masalah jantung. Alhamdulillah, saya sudah sihat.

"Terima kasih di atas segala doa, saya bersyukur Allah memelihara kesihatan saya dengan sebaik-baiknya,” kata Ebby.

Pada Januari lalu Ebby dilaporkan tidak sihat selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga.

Bukan itu sahaja, Ebby yang sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam karier seni turut disahkan mengalami penyakit jantung.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 5:35pm
d