rap

Didie bangga anak berjaya dalam pelajaran

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEJAYAAN anak keempatnya, Dayini Ahza mendapat Diploma Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KUPTM) dan kini menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuatkan artis versatil, Didie Alias lebih bersemangat untuk terus bekerja.

Didie, 46, atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd @ Ali berkata, dia mahu kesemua anaknya berjaya mencapai cita-cita mereka.

"Alhamdulillah, saya bersyukur anak menjadi. Ini semua rezeki yang Allah berikan. Sebagai ibu, siapa yang tidak bangga dan bahagia apabila anaknya berjaya.

"Walaupun badan ini kadang tak mampu lagi nak mengayuh untuk mencari rezeki, tapi kerana mereka saya terus bersemangat.

"Tidak pernah luntur mencari rezeki untuk mereka mencapai cita-cita hingga ke menara gading," katanya kepada Harian Metro.

Didie berkongsi, tiga anaknya juga berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan berharap dua lagi anak mengikut jejak abang dan kakak mereka.

"Dari dulu sampai sekarang, inilah perjuangan saya. Penat dan susah macam mana pun, pendidikan anak tetap menjadi keutamaan.

"Mungkin dari kecil sampai besar mereka melihat macam mana saya berusaha dan bekerja keras untuk anak, membuatkan mereka nak belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 4:02pm
d