rap

Peminat bagaikan dirasuk [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SEPERTI diserang histeria. Itulah yang dialami lebih 500 peminat Wings sebaik kumpulan kesayangan mereka mengadakan persembahan Sunday Night Live di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Biarpun hanya ada tiga anggota asal iaitu Datuk Awie selaku penyanyi, Eddie (bass) dan Black (dram) persembahan pada konsert itu ternyata memukau.

Mendapat sokongan dua bekas gitarisnya, Syam dan Edrie Hashim, Wings mendapat tepukan gemuruh sebaik memulakan aksi di pentas jam 10.30 malam.

Peminat yang memenuhi ruang premis bagaikan dirasuk apabila Awie mendendangkan lagu pertama mereka berjudul Alam Barzakh.

Usianya yang menjengah 51 tahun bukan penghalang apabila Awie memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu Sembunyi, Romania, Ingatkan Dia dan Jerangkung Dalam Almari.

Persembahan mantap kumpulan itu membuktikan Wings tetap relevan, malah memiliki peminat setia biarpun sudah 34 tahun bertapak dalam industri hiburan tanah air.

Awie ternyata tidak pernah mengecewakan apabila memberikan keyakinan dalam setiap nyanyian, malah vokalnya tetap sama seperti dahulu.

Saat yang dinanti akhirnya tiba apabila lagu Sejati dipersembahkan malah peminat sama-sama menyanyikan karya ‘berhantu’ itu.

Kehangatan konsert kian memuncak apabila Awie menyampaikan menerusi lagu Dalam Kehadiran Sofea, Intan Ku Kesepian, Mabuk Tujuh Lautan, Awang Trasher dan Sekeping

Kertas Bermaruah.

Dalam konsert berkenaan, bekas vokalisnya, Mus dan isteri turut sama memberikan sokongan sehinggalah tiga lagu terakhir, Misteri Mimpi Syakilla, Lipas Kudung dan Peronda Jaket Biru dipersembahkan.

Awie menghargai sokongan berterusan peminatnya sejak dulu, kini dan selamanya.

“Anda peminat setia kami tidak kira di mana juga berada. Terima kasih semua penyokong, anda tidak pernah lekang atau jemu bersama Wings,” katanya.

Menurut Awie, dia mengharapkan sokongan sama apabila bakal menjayakan Konsert Awie Romantika di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 15 Februari tahun depan.

“Sebagaimana anda sayangkan Wings, anda juga sayangkan Awie maka berilah sokongan sama seperti ini nanti,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 5:15am
d