rap

Beramal martabatkan Hangul

Oleh Georgie Joseph

ANNYEONGHASEYO!!! Demi mengukuhkan sejarah Korea, aktres Song Hye Kyo bekerjasama dengan Profesor Seo Kyung Duk dari Universiti Wanita Sungshin. Misi mereka menyebarkan secara meluas ilmu mengenai sejarah negara itu.

Semalam, profesor berkenaan menerusi Instagram mendedahkan aktres terbabit bermurah hati merealisasikan misi terbabit dan menyalurkan bantuan.

“Hari ini adalah Hari Hangul sempena meraikan kewujudan dan penyebaran bahasa ibunda kami. Bagi memperingati hari bermakna ini, aktres Song Hye Kyo dan saya memutuskan untuk meneruskan projek kami.

“Kami akan memperkenalkan setiap lokasi bersejarah negara ke seluruh dunia,” katanya.

Bukan saja dilakukan di negara sendiri, mereka turut menyumbang 10,000 unit buku panduan mengenai sejarah Korea di Kampung Utoro, Jepun. Song Hye Kyo sendiri turut menyumbangkan risalah ke tapak bersejarah untuk siri projek Meet Our Country’s History Abroad.

Menurut Seo Kyung Duk lagi, mereka yakin misi itu dapat diperluaskan dan akan berlangsung secara berterusan dalam jangka masa panjang.

“Sumbangan yang dilancarkan lebih lapan tahun lalu dengan Song Hye Kyo kini merentasi lebih 17 tapak bersejarah seluruh dunia. Kami mahu terus menyumbang buku panduan mengenai Korea,” katanya.

Dia juga berbesar hati apabila projek itu mendapat sokongan Song Hye Kyo yang sangat berpengaruh.

“Meskipun projek ini kendalian saya, Song Hye Kyo penaja bagi memastikan perjuangan ini tidak terhenti. Saya sempat berhubung dengannya baru-baru ini dan dia mengotakan janji mahu terus menyumbang.

“Kami akan pastikan buku panduan mengenai sejarah dan pergerakan kemerdekaan Korea Selatan akan disebarkan ke seluruh dunia. Biarlah ambil masa yang panjang sekali pun,” katanya.

Meskipun sekadar menyumbang buku panduan dan risalah, perjuangan mereka semakin menampakkan hasil. Bahkan, sumbangan itu semakin meluas ke banyak lokasi termasuk di Barat.

Selain menyumbang ke tapak bersejarah seperti lokasi sementara kerajaan Korea, mereka turut melakukannya di rumah Ahn Chang Ho di Los Angeles, Amerika Syarikat, dan banyak tempat lain lagi.

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 5:20am
d