rap

Jenuh belajar 'kecek' Kelate

Oleh Syafil Syazwan Jefri

CABARAN terbesar buat pelakon Nad Zainal menjayakan watak sebagai Raja Bongsu dalam pementasan Makyung Raja Besar Maha Gading adalah untuk bertutur dalam dialek Kelantan.

Nad yang dilahirkan di Kuala Lumpur berkata, dia banyak meluangkan masa dan berkomunikasi dengan pelakon-pelakon lain seperti Izzue Islam dan Issey yang berasal dari Kelantan.

“Selain bukan orang Kelantan, saya juga tidak ada saudara-mara dari Kelantan. Jadi, satu cabaran buat saya untuk bertutur dalam dialek Kelantan dan lebih mencabar adalah untuk menyanyikan lagu Makyung itu sendiri.

“Ketika sesi latihan, saya banyak bergaul dengan Issey, Izzue, Mat Rock dan Che Nan (Rosnan Rahman) sendiri untuk pastikan saya boleh bercakap dalam dialek Kelantan yang memang lemah lembut,” katanya yang sudah mengikuti latihan itu dan belajar bertutur dialek Kelantan sejak tiga bulan lalu.

Nad berkata, dia paling takut adalah apabila perlu menyanyi dan menari kerana bakatnya tidak ke arah itu.

“Dialognya pula panjang-panjang dan perlu dilontar dalam satu nafas. Itu memang mencabar kemampuan saya,” katanya.

Ditanya mengenai kelainan wataknya kali ini, Nad berkata, Raja Bongsu adalah watak lelaki.

“Sebagai Raja Bongsu, saya adalah putera raja yang kebudak-budakan dan dibenci enam abangnya yang lain.

“Daripada seorang putera raja yang keanak-anakan, watak saya berkembang menjadi raja yang matang selepas berlaku satu insiden,” katanya.

Makyung Raja Besar Maha Gading adalah pementasan Makyung kedua yang dilakonkan Nad dan mula dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

Makyung Raja Besar Maha Gading adalah satu daripada 12 cerita klasik Makyung dan diarahkan pengarah dan pelakon, Rosnan Rahman.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 3:50pm
d