rap

Isteri pertama Amar Ashraf mohon maaf

Oleh Rudy Imran Shamsudin

ISTERI pertama pelakon Amar Ashraf, Arna Salleh akan tetap berada di belakang suaminya walaupun isu mengenai isteri keduanya, Vivy Jeffry dengan penggiat teater dan pelakon, Ellika Azman hangat diperkatakan.

Arna berkata, Amar pernah meminta Ellika bertemu dengannya bagi membincangkan niat mereka untuk berkahwin, tetapi dia enggan.

Bagaimanapun, apabila pertemuan itu berlangsung, Ellika hadir dengan dua orang pengawal dan ibunya serta mendesak dan berterusan mengugut Amar.

“Apabila Amar meminta untuk menyelesaikan perkara itu dengan saya, dia mengatakan perancangannya dengan Amar tiada kaitan dengan saya,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Ellika ibu Amar memintanya wang sebanyak RM100,000 jika mahu berkahwin dengan Amar, Arna mengakuinya tetapi itu sebagai amaran supaya dia tidak bernikah dengan Amar.

“Waktu itu, Ellika memaksa kedua-dua keluarga bertemu dan membincangkan urusan pernikahan mereka, bagaimanapun ibu mentua saya menegaskan dia tidak bersetuju Amar menikahi Ellika dan dia mula bersikap kurang ajar.

“Ibu mentua mencadangkan jika dia boleh bayar RM100,000 bagi menyelesaikan segala hutang Amar, barulah mereka boleh berkahwin. Dia kemudian memaklumkan ada wang sebanyak itu,” katanya.

Arna berkata, dia memohon maaf kepada semua pihak terutama keluarga kerana selama ini merahsiakan masalah rumah tangga yang dihadapinya.

“Sepanjang perkara ini berlaku, saya ada anak sebagai sumber kekuatan. Setiap hari saya belajar memperbaiki diri dan mungkin ada kekurangan dalam diri saya menyebabkan masalah ini timbul.

“Selepas cuba memperbaiki diri dan menjadi isteri yang lebih baik, tetapi jika masalah terus berlaku saya bersedia untuk berpisah. Semuanya terpulang kepada Amar sebagai suami. Bagaimanapun dia tidak mahu kehilangan keluarganya dan berjanji akan memperbaiki kekurangan diri,” katanya.

Selain itu, Arna juga memohon maaf kepada semua pihak jika berasakan kenyataan yang dimuat naik di laman sosial itu mengaibkan mana-mana pihak.

“Saya bukan isteri yang baik, tetapi saya tidak akan tinggalkan suami saya berhadapan dengan situasi ini berseorangan. Kuat untuk berhadapan dengan perkara ini dan jangan menangis sendiri,” katanya.

Terdahulu, Ellika menerusi Instagram mendedahkan dia dan Amar merancang untuk berkahwin minggu depan tetapi membatalkan kerana baru mengetahui pelakon itu beristeri dua.

Ellika berkata, dia rasa tertipu selepas mengetahui Amar sebenarnya sudah memilik dua isteri dan bukannya satu seperti yang diperkatakan sebelum itu.

Katanya, tujuan dia berkongsi perkara itu di laman sosial kerana mahu pelakon itu bertanggungjawab kepada isteri kedua dan anaknya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 6:12pm
d