rap

Jamal sanggup berjaga malam demi Nur Azura

Oleh Ramlah Zainal

“Saya berdoa semoga Nur Azura membesar menjadi anak yang solehah. Sebagai bapa, saya akan berikan dia pendidikan terbaik terutama hal berkaitan agama,” kata penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah, 60, ketika berkongsi perancangan untuk masa depan anak perempuannya, Nur Azura Yamani.

Isteri Jamal, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, selamat melahirkan bayi perempuan mereka itu secara pembedahan di pusat perubatan swasta di Shah Alam pada jam 5.35 petang semalam.

Ketika dihubungi, Jamal mengakui berasa kekok untuk menjaga bayi pada usia sekarang.

“Maklumlah, sudah lebih 13 tahun saya tidak ada anak kecil. Anak kedua saya, Zaki kini sudah berusia 13 tahun.

“Namun, demi Nur Azura saya sanggup bangun tengah malam untuk membantu isteri menyusukannya dan menukar lampin,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia merestui jika Nur Azura mengikut jejaknya menjadi anak seni, Jamal berkata, dia tidak dapat menghalang perkara itu daripada berlaku.

“Dua anak saya, Osama dan Zaki juga meminati bidang seni. Saya tidak menyokong atau menggalakkan mereka.

“Apa yang penting, mereka perlu menamatkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi dulu,” katanya.

Mengulas keadaan Zai Izzati pula kata Jamal, buat masa ini, isteri dan anak perempuannya masih lagi ditahan di wad.

“Isteri dan anak masih lagi di tahan di wad selama beberapa hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Isteri juga akan menjalani tempoh berpantang di kediaman kami di Shah Alam selepas keluar wad nanti,” katanya.

Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Sebelum ini Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 7:58pm
d