rap

Kerja biasa-biasa sebelum popular

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SETIAP manusia yang berjaya pasti pernah melalui kesukaran termasuk selebriti dari dalam dan luar negara.

Sebelum bergelar selebriti dan meraih populariti, mereka juga mengharungi kehidupan sama seperti orang lain.

Hari ini, kehidupan mereka berubah sebaik dikenali ramai hingga ada yang bergelar jutawan.

Hakikatnya, sebelum terjun ke dunia seni mereka adalah pekerja biasa, penjawat awam, golongan profesional atau atlet sukan.

RapXtra minggu ini membawakan pekerjaan asal selebriti tempatan dan luar negara.

1. Adibah Noor

Sebelum aktif sebagai penyanyi, Adibah pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Datuk Harun, Petaling Jaya pada Mei 1993 hingga Jun 1995.

Katanya, antara kenangan manis tidak dapat dilupakan adalah mengikuti perkelahan bersama pelajar dan guru daripada kelab pengakap sekolah.

Ketika menjadi guru bimbingan bagi rumah sukan, pelajarnya menjadi juara selepas sekian lama tidak memenanginya.

Tidak lama kemudian, Adibah berhenti sementara sebagai guru dan kembali mengajar di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) pada Januari hingga September 1996.

2. Datuk Yusof Haslam

Pernah meraih gaji hanya RM7 sehari ketika bekerja sebagai konduktor bas di Kuala Lumpur pada 1973. Kenangan itu tidak dapat dilupakan pengarah dan penerbit filem tersohor ini.

Menimba pengalaman selama 10 bulan, Yusof berasakan kehidupannya kabur lalu mengambil keputusan mencuba pekerjaan lain dengan menjual kereta terpakai, promoter persembahan dan berniaga di kantin sekolah.

Pada 1974, dia mencuba nasib sebagai pelakon pembantu bagi filem Permintaan Terakhir arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong. Turut membintangi filem itu ialah Uji Rashid, Ogy Ahmad Daud, Sony Abdullah dan Saadiah.

Yusof berkata, dia berhenti kerja dan memberikan tumpuan dalam dunia seni ketika industri filem Melayu sedang suram.

Ketika berusia 30 tahun, Yusof menubuhkan Skop Production Sdn Bhd pada 1985 dan sehingga kini menerbitkan 40 filem serta hampir 2,000 drama.

3. Shukri Yahya

Sebelum berlakon pada 2011, Shukri memiliki dua pengalaman bekerja iaitu sebagai juruaudit dan kerani bank.

Pada 2009, Shukri berkhidmat sebagai kerani di Bahagian Sumber Manusia Bank Mualamat di Jalan Melaka, Kuala Lumpur.

Tugasnya adalah mengendalikan program dalaman institusi itu selain membantu ‘team building’.

Sebelum itu Shukri juga seorang juruaudit di syarikat kedai serbaneka di Kuala Lumpur. Dia bersama rakan sekerja sering dibawa menaiki bas untuk menjalankan audit di premis cawangan.

4. Hairul Azreen

Pada 2006, Hairul bekerja sebagai tukang cat jalan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dengan bayaran RM50 sehari.

Hairul berkata, dia berdepan risiko dilanggar kenderaan yang dipandu laju ketika melakukan kerja berkenaan.

Pada satu hari, dia melihat seorang lelaki memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) dan berhasrat memilikinya.

“Alhamdulillah, saya berjaya memilikinya hari ini dan tidak pernah melupakan kesusahan lalu,” katanya.

Selepas tiga bulan menjadi tukang cat, dia bertukar kerja apabila menjadi penarik kereta bagi mereka yang tidak melangsaikan bayaran bank.

5. Nabil Ahmad

Walaupun sudah popular hari ini, pelawak popular ini tidak pernah malu mengakui kesusahan hidupnya satu ketika dulu.

Nabil berkata, sebelum bergelar artis pada 2008, dia melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup dan membantu ibu bapanya di Negeri Sembilan.

Antara kerja dilakukan Nabil ialah penghantar surat dan barangan di Seremban, menjual nasi lemak di Mambau, bekerja kilang di Rasah dan bengkel di Kayu Ara.

Sepanjang lima tahun bekerja sebagai penghantar surat, pendapatan bulanannya RM600.

Nabil turut memberitahu, kesukaran hidup memaksanya untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

6. UEE

Sebelum bergelar selebriti, Kim Yu Jin atau nama popularnya, UEE adalah atlet renang di Korea Selatan.

Terdahulu, selebriti berwajah manis ini pernah menyertai pertandingan renang menerusi Korean National Sports Festival.

Dia yang berusia 31 tahun dan dilahirkan di Daegu adalah anak seorang pelatih besbol profesional bagi pasukan Nexen Heroes.

Atas kemahiran yang dimiliki, UEE membintangi sebuah drama 16 episod iaitu Hogu’s Love pada 2015. Drama itu berkisar mengenai sukan renang.

7. Beyonce

Penyanyi terkenal Amerika Syarikat yang berusia 38 tahun ini diajar ibu bapanya cara mendapatkan wang ketika masih kecil.

Dia yang dilahirkan di Houston, Texas anak pemilik salun, Celestine Ann. Ketika berusia sembilan tahun, Beyonce menjadi tukang sapu dan membersihkan salun ibunya bagi membiayai persekolahan di St Mary’s Elementary School di Fredericksburg.

Ada kalanya, Beyonce akan menyanyi di hadapan pelanggan untuk mendapatkan wang token.

8. Nicki Minaj

Nama sebenar artis ini ialah Onika Tanya Maraj pernah bekerja sebagai pelayan restoran di Red Lobster di Amerika Syarikat, sebelum bergelar penyanyi pada 2007.

Artis kelahiran Trinidad & Tobago itu memiliki pengalaman hitam apabila dipecat majikannya dalam satu insiden tidak diduga.

Dalam kejadian itu, sepasang kekasih yang juga pelanggan mengambil pen miliknya lalu dikejar hingga ke ruang parkir.

Berlaku perang mulut antara mereka sebelum penyanyi itu menunjukkan isyarat lucah menyebabkannya dipecat majikan serta-merta.

9. Akshay Kumar

Sebelum bergelar pelakon pada 1990, suami pelakon Bollywood, Twinkle Khanna ini adalah atlet seni bela diri iaitu karate.

Kini berusia 52 tahun, Akshay Kumar pada 2014 menggesa ilmu mempertahankan diri wajib dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah di negaranya.

Mengikut laporan di India, Akshay dikatakan memiliki tali pinggang hitam dan pernah menyertai beberapa pertandingan sebelum ini.

Ilmu itu juga diperturunkan kepada anak lelakinya, Aarav yang memenangi pingat emas dalam kejuaraan nasional.

10. Cita Citata

Dalam sidang media pada 26 Disember 2014 di Indonesia, penyanyi lagu Sakitnya Tuh Di Sini dedahkan pernah bekerja di pusat karaoke sebelum bergelar artis.

Penyanyi berusia 25 tahun berasal dari Bandung ini memberitahu pekerjaan asalnya mula mendapat perhatian sebaik dia menjadi selebriti.

Selepas membuat pengakuan itu, Cita menegaskan dia bekerja di premis itu tidak lama dan hanya menguruskan nyanyian bukan melakukan kerja tidak senonoh.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 5:10am
d