rap

Risteena anak yang baik

Oleh Cik Pang

BARU-BARU ini ibu kepada pelakon Risteena Munim dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan di tangan selepas mengalami kemalangan beberapa minggu lalu.

Sepanjang ditempatkan di dalam wad hospital Risteena turut berkongsi beberapa keping gambar dia menjaga ibunya.

Ramai yang terharu dan memuji sikap Risteena yang bersusah payah menjaga ibunya, menghiaskan ibunya selepas mandi dan menyuapkan makanan.

Cik Pang sendiri pun terharu apabila melihat gambar itu. Pada waktu sama berbisik dalam hati bertuah tunang Risteena juga pelakon, Ikhwan kerana bakal memperisterikan seorang yang sangat prihatin.

Kata orang kalau kita mahu mencari bakal isteri mahupun suami yang baik, kita lihat bagaimana dia melayani ibunya. Kalau dia melayan ibunya dengan baik begitu juga dia akan melayan isteri mahupun suaminya.

Sebut pasal Risteena dan Ikhwan, pasti peminat kedua-dua pelakon ini tidak sabar mahu melihat mereka bersanding di atas pelamin.

Sebelum ini kedua-duanya memilih untuk bernikah pada Ogos lalu tetapi disebabkan jadual Risteena yang padat majlis pernikahan dan persandingan ditunda dan bakal diadakan November depan.

Mesti pasangan yang berdarah manis ini sibuk membuat persiapan majlis pernikahan dan persandingan. Cik Pang harap jangan pula tarikh ditunda lagi. Biarlah kali ini jadi ya Risteena dan Ikhwan.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 5:20am
d