rap

Datuk rock alahan nak dapat cucu

Oleh Norhayati Nordin

VOKALIS kumpulan Screen, Gmie, 48, berkongsi pengalaman dirinya dan isteri mengalami alahan teruk termasuk mengidam disebabkan kehamilan anaknya, Siti Hadirah.

Siti Hadirah yang juga anak sulung Gmie atau nama sebenar Hajimi Ibrahim dan isteri, Siti Royani selamat bernikah dengan pasangannya, Muhammad Ridzzuan pada 26 Mac lalu.

Gmie berkata, dia dijangka menimang cucu sulung sekitar Januari tahun depan dan masih tidak tahu jantina bayi.

"Saya yang meminta anak serta menantu merahsiakan jantina bayi mereka kerana inginkan kejutan.

"Apatah lagi, saya dan isteri mengalami simptom alahan seperti mual yang agak teruk sebaik mengetahui Siti Hadirah hamil.

"Selain mual, kami juga mengidam beberapa makanan. Namun, ia pengalaman baru dan menarik untuk saya," katanya.

Katanya, dia sebenarnya tidak pernah mengalami simptom alahan ketika isterinya hamil.

"Saya yang memiliki lima anak tidak pernah mengalami alahan termasuk mengidam makanan ketika isteri hamil dahulu.

"Apapun, lain pula penangannya bila nak menimang cucu. Tak pasal-pasal, dapat pengalaman alahan dan mengidam pula," katanya.

Gmie yang popular dengan lagu Bila Cinta Didusta bersama Screen berkata, dia juga tidak kisah dengan gelaran 'datuk rock'.

"Saya meletakkan panggilan Tok Abah untuk cucu nanti. Malah, jika orang melabelkan saya 'datuk rock' pula biarlah.

"Saya terima sahaja kerana paling utama doa saya semoga anak selamat melahirkan bayinya dan mereka berdua sihat," katanya.

Gmie adalah pemenang tempat keenam dalam program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) yang disertai pada 2016.

Hingga kini, Gmie masih lagi aktif menyanyi meskipun mempunyai berkerjaya tetap selama 30 tahun sebagai kerani logistik di Pelabuhan Klang.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 6:45pm
d