rap

Jam 5 pagi dah beratur uji bakat

Oleh Ardini Sophia Sina

SAMBUTAN luar biasa uji bakat I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya cukup mengejutkan pihak penerbitan program berkenaan.

Seawal jam 5 pagi, peserta sudah mula beratur di hadapan pintu utama dan tidak berganjak serta bertahan dalam cuaca tidak menentu.

Malahan, ada antara mereka yang sanggup terbang dari Sabah kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai uji bakat ICSYVMY musim ketiga.

Azwan Jidi, 28, berasal dari Beaufort sanggup meluangkan masa untuk hadir walaupun terpaksa beratur dalam tempoh yang panjang.

"Saya terbang dari Kota Kinabalu jam 5 petang semalam dan tiba di sini (Sri Pentas) kira-kira jam 8.30 pagi. Ini adalah kali pertama saya hadir uji bakat dan terkejut melihat ramai peserta yang datang.

"Saya ingin sertai program ini kerana mahu melihat sejauh mana bakat yang dimiliki. Sama ada berjaya atau pun tidak, saya serahkan pada rezeki," katanya.

Sementara itu, pasangan adik-beradik iaitu Nur Amiera Azelan, 23, dan Nur Syafiqah, 22, sering hadir bersama menyertai pertandingan menyanyi mahupun uji bakat.

"Kami memang dari dulu selalu sama-sama sertai pertandingan atau uji bakat. Sebab suka menyanyi, kami cuba nasib untuk sertai program ini. Tidak kisahlah kalau seorang saja yang terpilih.

"Ibu bapa memang tahu kami hadir ke uji bakat ini. Siap kena marah lagi sebab tak datang lebih awal. Bagaimanapun, ini adalah pengalaman menarik sebab dapat kenal rakan baharu," kata Amiera.

Mohammad Ridzuan Zainal, dari Ipoh, Perak tidak melepaskan peluang untuk hadir ke uji bakat ICSYVMY walaupun bertolak seawal jam 5 pagi.

Berjaya melepasi uji bakat saringan pertama, Ridzuan menjadikan program itu sebagai platform untuk mencapai impian bergelar penyanyi.

"Alhamdulillah, saya berjaya melepasi saringan pertama dan menunggu untuk ke saringan kedua. Saya memang minat nyanyi tetapi kurang yakin membuat persembahan di hadapan orang ramai.

"Sokongan rakan dan keluarga membuatkan saya kuatkan hati untuk datang pada hari ini. Saya harap tak kecewakan mereka," katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 7:10pm
d