rap

Sara Sajeeda dapat perhatian warga Pakistan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

DRAMA Sara Sajeeda bukan saja ditonton peminat tempatan, tapi juga mendapat perhatian penduduk Pakistan termasuk yang bekerja di negara ini.

Drama yang ditayangkan di slot Samarinda, TV3 itu menampilkan hero dari negara itu, Arslan Asad Butt dan seorang lagi watak utama, Anmol Baloch sebagai Sajeeda serta Tiz Zaqyah selaku Sara.

Penerbit, Fadzil Teh berkata, dia tidak menjangka sambutan luar biasa diberikan penonton berdasarkan maklum balas diterima.

“Selepas episod pertama ditayangkan, saya mendapat banyak mesej dan komen daripada warga Pakistan di negara itu yang menonton di YouTube. Begitu juga yang bekerja dan menetap di sini.

“Selain meminati hero, mereka sukakan jalan cerita drama ini. Malah, mereka puji lakonan pelakon kita. Mungkin ini kali pertama mereka menonton drama yang menggabungkan dua negara.

“Sebagai penerbit, saya bangga dan terharu. Segala penat lelah dan cabaran sepanjang penggambaran drama ini terbayar apabila mendapat maklum balas sebegini,” katanya kepada Harian Metro.

Fadzil berkata, drama yang mula ditayangkan sejak 3 Oktober itu antara lain mempromosikan Malaysia sekali gus mengetengahkan bakat pelakon tempatan.

Menurutnya, drama arahan tiga pengarah terkenal itu berbeza daripada daripada kebanyakan karya yang diterbitkan Zeel Production sebelum ini.

“Saya boleh katakan ini antara drama termahal yang kami pernah terbitkan. Disebabkan itu, kami kena teliti dan buat yang terbaik. Bukan saja skrip, tapi juga jalan cerita.

“Dari segi pemilihan pelakon, saya sudah dapat yang terbaik. Mereka sangat bagus. Begitu juga dengan kru produksi.

“Kalau ada rezeki, saya nak buat lagi drama seumpama ini yang menggabungkan dua negara. Mungkin selepas ini dengan Turki dan Thailand pula.

“Saya berharap drama ini memberi dimensi baru dalam penerbitan drama di negara kita dan penerbit lain juga mulakan langkah sama,” katanya.

Selain Tiz, pelakon tempatan lain yang terbabit seperti Fahrin Ahmad, Fouziah Gous, Haliza Misbun, Mas Anizan, Uyaina Arshad, Alif Hero Remaja dan ramai lagi.

Sara Sajeeda ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 5:22pm
d