rap

Bukan sekadar artis, manusia serba boleh

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"PEGANGAN kami dahulu, tidak pernah meletakkan diri sebagai artis sebaliknya manusia serba boleh," kata penyanyi kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Joey yang berkongsi pengalamannya sebagai pengendali komputer dan pelukis pelan bangunan antara 1982 hingga 1990.

Joey berkata, artis di era 1980-an tidak bergantung hidup dengan menerima undangan nyanyian semata-mata sebaliknya memanfaatkan kemahiran untuk meraih pendapatan.

"Kehidupan artis dahulu tidak terlalu bergantung pada konsert tetapi jika ada kemahiran kami akan menggunakannya," katanya yang berkongsi pengalaman itu di Facebook, hari ini hingga meraih 12,000 tanda suka dan 1,500 komen.

Selain bergelar penyanyi, Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 56, memiliki sebuah kedai komputer di Alor Setar, Kedah dan Perlis pada 1982.

"Perkembangan teknologi masa itu tidak sama seperti sekarang kerana ia peralatan mahal. Biarpun tiada kelulusan (ijazah) dalam jurusan kejuruteraan atau teknologi maklumat, saya gemar menerokainya hingga digelar 'Taukeh Komputer' oleh M Nasir," katanya.

Disebabkan itu, dia sering dijemput beberapa syarikat untuk menjayakan siri animasi dan komputer yang ketika itu menggunakan dimensi 2D.

"Berdasarkan pengalaman, saya yang mereka bentuk pelan bangunan untuk hotel, pusat beli-belah serta pusat perindustrian di Lembah Klang dan Kedah.

"Selain itu saya turut mereka bentuk pelan hospital, sekolah, stadium dan stesen bas termasuk Pasar Borong Selayang serta Pasar Borong Nilai 2 di Negeri Sembilan," katanya.

Menurut Joey, sekiranya melalui semula kawasan itu dirinya berbangga kerana pernah memberikan sumbangan di premis terbabit.

"Walaupun saya sudah berusia, sekurang-kurangnya ada manfaat di situ untuk kemudahan bersama," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Joey berkongsi, pada awal perancangan dia mahu mereka bentuk Hotel Sunway Lagoon seperti Disneyland tetapi tidak diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, selain pekerjaan itu dia juga melakukan khidmat penyelenggaraan komputer di pejabat agensi kerajaan serta swasta dengan memasang peralatan serta wayar.

"Saya masih teringat pernah ditemuduga di sebuah syarikat komputer tetapi dipertikai kerana tiada kelulusan. Saya cuma datang ke sana dengan membawa kad pengenalan.

"Sebaik dibawa masuk untuk diuji pemasangan data komputer, saya berjaya melakukannya dalam tempoh 45 minit hingga meraih pekerjaan," katanya.

Menurut Joey, tujuan dia berkongsi pengalaman itu adalah untuk menasihati bekas kakitangan Utusan Malaysia Berhad yang diberhentikan kerja sebaik syarikat berkenaan diisytiharkan muflis.

"Apa yang mahu saya katakan adalah manfaatkan kebolehan. Saya pada masa itu juga kehilangan kerja disebabkan syarikat gulung tikar selain tempoh perkhidmatan tamat.

"Apa yang penting, manfaatkan kebolehan dan kerajinan," katanya yang pernah menjual cakera padat (CD) pada harga belasan ringgit ketika itu.

Katanya, antara barisan artis yang mengetahui cara kerjanya adalah Ringgo Fotograf, Zarith Mega dan Rahim Maarof.

"Pekerjaan saya pada masa itu seperti mat gian (penagih dadah), jika tidak memegang kekunci komputer dalam sehari rasa tidak selesa," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 6:30pm
d