rap

Memang selendang saja, bukan bertudung penuh - Wann

Oleh Syanty Octavia Amry

PENYANYI, Wann tidak mengambil hati dengan komen segelintir warganet yang mempertikaikan penampilannya berselendang pada malam persembahan minggu pertama konsert Gegar Vaganza musim keenam (GV6), malam tadi.

Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid, 49, berkata, sebelum ini dia sudah memberitahu bahawa penampilannya memang begitu dan bukannya bertudung penuh.

"Itu memang gaya penampilan saya dan sebelum ini pernah beritahu memang sekarang selesa memakai selendang saja. Malah sudah empat tahun saya mengenakan selendang ke mana-mana.

"Saya juga ada beritahu kepada produksi GV bahawa inilah penampilan yang akan ditonjolkan selama beraksi di GV. Oleh itu, saya tidak ambil hati dengan komen warganet selagi mereka tidak keterlaluan," katanya.

Pada minggu pertama konsert GV, Wann mempersembahkan lagu popularnya bertajuk Bossanova.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persembahannya yang mendapat teguran daripada juri tetap Hetty Koes Endang, Wann berkata, dia menerimanya dengan hati terbuka kerana sedar setiap orang punya penilaian berbeza.

"Saya rasa itu adalah gaya persembahan sejak dulu lagi. Soal bunyi yang menjadi teguran rasanya ia tidak keterlaluan kerana saya menyanyi mengikut lenggok lagu berkenaan.

"Apa pun saya terbuka menerima teguran yang diberikan dan cuba memperbaikinya pada persembahan akan datang," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 7:38pm
d