rap

Penyanyi Azzara Band 'hilang ingatan'

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI kumpulan Azarra Band, Ejai Aziz yang ‘hilang ingatan’ apabila cedera di kepala selepas terjatuh ketika bermain futsal, Ahad lalu sudah menunjukkan perubahan positif semalam.

Pemain dram kumpulan itu, Mohd Hairol Azhar atau Boy yang melawatnya di Hospital Sungai Buloh berkata, Ejai sudah boleh mengingati semula kejadian dan orang sekeliling.

“Cuma sekarang dia seperti mengalami gejala 'short term memory loss'. Dia tahu punca dimasukkan di hospital tetapi selepas lima minit bersembang, dia akan tanya lagi kenapa dia berada di situ,” katanya.

Dalam kejadian itu, Ejai terjatuh ketika bermain futsal dan kepalanya terhantuk.

“Kejadian itu menyebabkan dia langsung tidak dapat mengingati keluarganya. Itu yang menyebabkan dia terus dibawa ke hospital," katanya.

Berikutan kejadian itu, Azarra Band terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan yang dijadualkan dalam masa terdekat ini.

"Mana-mana tawaran yang berlangsung dalam masa terdekat kami terpaksa tolak. Biarlah Ejai benar-benar sihat dulu barulah kami penuhi undangan untuk buat persembahan.

"Doktor pun ada maklumkan, Ejai mungkin akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk sembuh sepenuhnya. Saya mohon semua orang mendoakannya supaya dia kembali pulih," katanya.

Selain Ejai dan Boy, Azarra Band turut dianggotai Mohammad Khairul Azam Md Yasin atau Kidz (gitar) dan Mohd Fauzan Mohammed Rofie atau Rop'z (bass). Mereka mulai mencipta nama menerusi lagu Alalala Sayang.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 2:57pm
d